Rampasan hidupan liar cecah RM5.2 juta dalam tempoh empat bulan - Perhilitan

Perhilitan menahan seorang individu yang cuba menyeludup hidupan liar di KLIA. Gambar kecil : Abdul Kadir
Perhilitan menahan seorang individu yang cuba menyeludup hidupan liar di KLIA. Gambar kecil : Abdul Kadir
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merekodkan nilai rampasan berkaitan hidupan liar berjumlah RM5.2 juta pada tahun ini

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, statistik bagi tempoh empat bulan setakat April itu direkod menerusi tindakan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).

"Sepanjang tempoh itu, seramai 72 suspek telah ditahan.

"Ada antara mereka dipercayai berperanan sebagai pemilik kepada barangan serta produk berkaitan hidupan liar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, antara modus operandi baharu suspek yang dikesan sejak akhir-akhir ini adalah dengan menyeludup hidupan liar melalui lapangan terbang melalui kaedah daftar masuk bagasi.

Tambah Abdul Kadir, pihaknya mengingatkan orang awam bahawa sebarang aktiviti melibatkan pemburuan haram, pemilikan, pemindahan atau pemerdagangan hidupan liar secara tidak sah adalah satu kesalahan serius di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

"Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta dan tidak melebihi 15 tahun penjara," ujarnya.

April lalu, Sinar Harian melaporkan cubaan seorang lelaki warga India dipercayai diupah sebagai 'keldai' untuk menyeludup hidupan liar bagi spesies ungka tangan hitam dan kura-kura red-eared slider melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang berjaya digagalkan.

Artikel Berkaitan:

Penahanan suspek untuk menaiki penerbangan ke Tiruchirapalli, India itu dilakukan hasil tindakan pantas Jabatan Perhilitan bersama Polis Bantuan KLIA.

Pemeriksaan pada bagasi dibawa lelaki berusia 21 tahun itu menemui seekor haiwan disyaki ungka tangan hitam serta enam ekor kura-kura res-eared slider.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!