Juri terkejut juara acar buah 'Aminah Mahmood' rupanya Tengku Ampuan Pahang

Tunku Azizah menunjukkan acar buah yang dimasak baginda dan menggunakan nama samaran ' Aminah Mahmood'. Foto FB Kesultanan Pahang.
Tunku Azizah menunjukkan acar buah yang dimasak baginda dan menggunakan nama samaran ' Aminah Mahmood'. Foto FB Kesultanan Pahang.
A
A
A

KUANTAN – Hidangan acar buah yang dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan masakan sempena Karnival Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Pahang, rupa-rupanya dimasak oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Lebih mengejutkan, baginda menyertai pertandingan itu menggunakan nama samaran 'Aminah Mahmood' tanpa pengetahuan pihak penganjur mahupun juri pertandingan.

Juri pertandingan, Siti Rokiah Lebai Rahmat, 74, berkata, mereka terkejut apabila mengetahui pemilik hidangan berkenaan adalah Tengku Ampuan Pahang.

Siti Rokiah. Foto FB Kesultanan Pahang.
Siti Rokiah. Foto FB Kesultanan Pahang.

“Semua peserta diberi syarat sama iaitu menyediakan hidangan siap dari rumah dan dibawa ke pertandingan ini untuk dinilai mengikut rasa dan kreativiti.

"Saya dan pasukan juri memilih acar buah Aminah Mahmood ini bukan kerana sedap semata-mata tetapi kombinasi bahan-bahan yang cukup sempurna," katanya memetik hantaran di Facebook Kesultanan Pahang pada Ahad.

Bekas guru masakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mengaku tidak pernah merasai acar buah sebaik itu sepanjang 39 tahun menjadi juri pertandingan.

Acar buah milik Tunku Azizah. Foto FB Kesultanan Pahang.
Acar buah milik Tunku Azizah. Foto FB Kesultanan Pahang.

Artikel Berkaitan:

“Acar buah ini sangat seimbang, tidak berminyak tetapi kuahnya bersalut dengan rasa buah dan rempah ratus.

"Ini kali pertama saya rasa acar buah yang sedap, sempurna dan lengkap dengan semua bahan,” ujarnya.

Pertandingan yang disertai 11 peserta itu berlangsung di Taman Tasik Maran pada Sabtu lalu.

Terdahulu, Tunku Azizah berkenan mencemar duli menghadiri karnival berkenaan selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung WI Pahang di Dewan Jubli Perak, Maran.

Turut mengiringi baginda ialah Che Puan Panglima, Puteri Suraiya Afzan Datuk Mohammed Moizz.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!