Karya Anak Pahang platform rakyat zahir pandangan secara kreatif

Fadzli diiringi Khairul Anwar menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Januari-April Karya Anak Pahang sempena Fastival Belia Pahang di Wisma Belia pada Sabtu
Fadzli diiringi Khairul Anwar menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Januari-April Karya Anak Pahang sempena Fastival Belia Pahang di Wisma Belia pada Sabtu
A
A
A

KUANTAN – Program Karya Anak Pahang yang kini memasuki tahun kedua penganjurannya terus menjadi platform penting bagi rakyat negeri ini untuk menzahirkan pandangan dan kecintaan mereka terhadap Pahang secara kreatif melalui video, gambar dan penulisan.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, platform ini diwujudkan bukan sahaja untuk menghargai daya kreativiti rakyat, tetapi juga sebagai saluran menyampaikan mesej positif serta menangkis budaya negatif di media sosial.

“Program ini membantu mempromosikan sejarah ketamadunan, budaya, keindahan alam semula jadi serta kehidupan masyarakat berbilang kaum di Pahang.

“Paling penting, ia menjadi ruang bagi rakyat meluahkan rasa cinta kepada negeri ini melalui karya mereka dan inisiatif sebegini belum pernah ada di negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Januari hingga April Karya Anak Pahang sempena Festival Belia Pahang yang berlangsung di Wisma Belia di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Khairul Anwar Ahmad Nadzer.

Seramai 50 pemenang diraikan pada majlis itu daripada lebih 100 peserta yang disenaraikan sebagai pemenang sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Fadzli bergambar bersama sebahagian pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Januari-April Karya Anak Pahang sempena Fastival Belia Pahang di Wisma Belia pada Sabtu.
Fadzli bergambar bersama sebahagian pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Januari-April Karya Anak Pahang sempena Fastival Belia Pahang di Wisma Belia pada Sabtu.

Menurut Fadzli, sambutan yang menggalakkan menunjukkan peningkatan penyertaan tahun ini berbanding penganjuran sulung tahun lalu. Setakat ini, lebih 1,000 karya telah diterima dan dikumpulkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengumumkan bahawa nilai hadiah wang tunai dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 tahun ini sebagai tanda penghargaan kepada peserta.

“Kerajaan negeri bersedia untuk mengkaji penambahan nilai hadiah pada masa depan sekiranya dipersetujui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Saya percaya, lebih baik kita berbelanja untuk gerakan positif seperti ini, bagi menyemai semangat sayangkan negeri dan membina naratif positif dalam media sosial,” ujarnya.

Fadzli juga menyatakan harapan agar peserta Karya Anak Pahang kelak dapat mempertahankan negeri ini daripada tohmahan dan maklumat palsu yang tersebar di alam maya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!