Dua wanita Vietnam berkelakuan mencurigakan ditahan di KLIA

Kedua-dua wanita berkenaan dijadualkan berlepas ke Ho Chi Minh, Vitenam.
Kedua-dua wanita berkenaan dijadualkan berlepas ke Ho Chi Minh, Vitenam.
A
A
A

SEPANG – Dua wanita warga Vietnam yang berkelakuan mencurigakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 2, di sini didapati melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh masa yang dibenarkan.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan berkata, semasa ditahan pada Selasa, dua wanita terbabit turut melakukan kesalahan lain iaitu terdapat percanggahan pada pengesahan rekod perjalanan rasmi mereka.

Menurutnya, penahanan dua wanita itu dibuat hasil pemeriksaan rambang oleh Unit Pemantau antara jam 5.00 petang hingga 11.00 malam ke atas kira-kira 150 warga asing di sekitar terminal tersebut.

"Kedua-dua wanita itu dikesan berlegar-legar secara mencurigakan di kawasan balai berlepas semasa pemeriksaan dibuat.

"Siasatan lanjut mendapati kedua-dua wanita tersebut, yang dijadualkan berlepas ke Ho Chi Minh, Vietnam ini telah tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.

"Semakan melalui sistem imigresen juga menunjukkan 'endorsmen' cap keselamatan keluar dan masuk pada pasport mereka tidak selaras dengan rekod perjalanan rasmi," katanya pada Jumaat.

Berikutan kesalahan itu, kedua-dua wanita berkenaan telah dibawa ke Balai Polis KLIA sebelum ditahan selama 14 hari di bawah Seksyen 51(3)(a) dan Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1963/69 untuk siasatan lanjut, tambahnya.

"Mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen KLIA Terminal 2 sebelum diserahkan kepada Unit Penguat Kuasa.

"Operasi pemantauan yang dilaksanakan AKPS adalah selaras dengan Tatacara Kerja Piawai (ATKPI), Arahan Pentadbiran dan arahan semasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ia juga sebahagian daripada usaha berterusan AKPS dalam memastikan tahap keselamatan dan kawalan sempadan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.

"AKPS akan terus mempergiatkan usaha pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan di pintu-pintu masuk negara, seterusnya memastikan sempadan negara ini bebas daripada dibolosi.

"Orang awam diminta memberikan kerjasama dalam menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!