Warden penjara maut digilis lori simen ketika berhenti di lampu isyarat

MELAKA – Seorang warden penjara maut dalam tragedi menyayat hati apabila motosikal ditunggangnya digilis sebuah lori simen ketika berhenti di lampu isyarat di Lebuh SPA berhampiran persimpangan pusat pelupusan sampah Sungai Udang petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang Khamis, mangsa, Sarjan Amal Nurlidar Ghazali, 42, anggota Jabatan Penjara Penjara Dusun Dato' Murad, disahkan maut di lokasi selepas tersepit di bawah lori dan mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan termasuk muka dan kaki.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kegagalan brek lori simen berkenaan.
“Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Ego Solariz sedang berhenti di lampu isyarat. Sebuah lori simen dipandu lelaki berusia 49 tahun datang dari arah sama dan dipercayai mengalami masalah brek.
“Lori itu cuba mengelak ke bahu jalan namun tetap merempuh motosikal mangsa lalu menggilisnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawah lori sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kenderaan lori simen terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan teknikal di Puspakom. Saringan air kencing terhadap pemandu mendapati keputusan negatif dadah.
“Suspek akan direman hari ini di Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi membantu siasatan lanjut,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!