Ronaldo kekal atlet terkaya dunia

CRISTIANO Ronaldo sekali lagi membuktikan bahawa kehebatannya bukan sahaja terhad di padang, malah turut menguasai arena komersial sukan dunia.
Bintang bola sepak Portugal itu dinobatkan sebagai atlet dengan pendapatan tertinggi dunia oleh Forbes bagi tahun 2025 — tahun ketiga berturut-turut dan kali kelima sepanjang karier luar biasanya.
Dengan jumlah pendapatan mencecah AS$275 juta hasil gabungan gaji bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr, serta pelbagai perjanjian penajaan mewah, Ronaldo terus menjulang statusnya sebagai ikon global.
Keupayaannya menarik lebih 939 juta pengikut di media sosial menjadikan beliau ‘mesin komersial’ yang tiada tandingan dalam dunia sukan moden.
Turut menghiasi senarai atlet berpendapatan tertinggi tahun ini ialah nama-nama besar dari pelbagai disiplin — daripada pemain bola keranjang dan besbol hingga ke dunia tinju serta bola sepak Amerika.
Pemain Golden State Warriors, Stephen Curry, melonjak ke tempat kedua dengan pendapatan AS$156 juta, manakala petinju sensasi Britain, Tyson Fury, berada di tangga ketiga dengan AS$146 juta, meskipun kehilangan gelaran dunia.
Senarai penuh menyaksikan dominasi atlet dari Amerika Syarikat dan bintang antarabangsa lain, termasuk Lionel Messi, LeBron James, Shohei Ohtani, dan Juan Soto, yang masing-masing mencatat pendapatan sembilan angka hasil gabungan prestasi sukan, populariti global dan kekuatan jenama peribadi.
Senarai Atlet Berpendapatan Tinggi 2025:
Cristiano Ronaldo (Bola Sepak, Al-Nassr) – AS$275 juta
Stephen Curry (Bola Keranjang, Golden State Warriors) – AS$156 juta
Tyson Fury (Tinju) – AS$146 juta
Dak Prescott (Bola Sepak Amerika, Dallas Cowboys) – AS$137 juta
Lionel Messi (Bola Sepak, Inter Miami) – AS$135 juta
LeBron James (Bola Keranjang, Los Angeles Lakers) – AS$133.8 juta
Juan Soto (Besbol, New York Mets) – AS$114 juta
Karim Benzema (Bola Sepak, Al Ittihad) – AS$104 juta
Shohei Ohtani (Besbol, Los Angeles Dodgers) – AS$102.5 juta
Kevin Durant (Bola Keranjang, Phoenix Suns) – AS$101.4 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!