Lapan bulan gaji tertunggak, bintang bola sepak Gopi Rizki niaga air balang

PONTIAN – Bekas pemain Sri Pahang FC, Mohammad Gopi Rizqi, 36, mencuri tumpuan apabila dia kini menjual air balang sempena Ramadan di Kampung Api-api.
Gopi, yang berasal dari Kuantan, Pahang sebelum ini pernah bermain dalam saingan Liga M bersama Pahang dari 2010-2015, diikuti Selangor (2016), Johor Darul Ta'zim (JDT) (2017-2018), Melaka United (2018), Polis Diraja Malaysia (PDRM) (2019) dan Pahang (2020).
Malah, dia turut telah mengumpul enam kaps sepanjang menyarung jersi Harimau Malaya bermula 2012 hingga 2015.
Selain itu sewaktu bersama Pahang selama tujuh musim, Gopi telah merangkul dua Piala Malaysia dan satu gelaran Piala FA.

Ketika ditemui di gerainya, Gopi memberitahu dia tidak menyangka gambarnya sedang berniaga air balang tular di media sosial di mana masih ramai yang masih mengenalinya.
"Alhamdulillah, ramai yang datang ke gerai saya untuk bergambar. Ada juga yang tidak sangka sekarang saya berada di Pontian.
"Tidak kurang juga ada yang tanya bila saya hendak masuk padang semula, namun banyak kata-kata positif diberikan untuk saya dan keluarga teruskan perniagaan air balang pada Ramadan kali ini," katanya.
Bercerita lanjut, Gopi memberitahu tunggakan gaji dialami bersama sebuah pasukan di ibu negara sejak lapan bulan lalu menyukarkan kehidupan.
Dia berbincang dengan isteri Nor Hidayah Roslan, 38, untuk melakukan sesuatu bagi mencari pendapatan buat dua orang anak berusia lima dan dua tahun.
"Dalam keadaan sekarang ini, sudah lapan bulan saya tidak mendapat gaji, memang sukar dan kami ambil keputusan untuk jual air balang di depan rumah.
"Setakat ini cuma air balang mata kucing dan jagung dijual selain ada sedikit kuih muih. Isteri turut membantu dengan menjual popia carbonara," katanya.

Gopi memeluk Islam pada tahun sejak enam tahun lalu, mengikuti jejak ahli keluarganya yang lebih awal memeluk agama itu, termasuk ibu saudaranya dan datuknya
“Sejak kecil saya ramai berkawan dengan orang Melayu. Saya dapat banyak petunjuk dan akhirnya membuat keputusan untuk memeluk Islam.
"Tidak sukar untuk saya menjalani ibadah puasa sebagai seorang Muslim. Alhamdulillah semua berjalan dengan baik," katanya.

Dalam pada itu Gopi yang memegang lesen kejurulatihan D turut berhasrat untuk berkongsi ilmu dengan murid-murid sekolah di daerah yang berminat dalam sukan bola sepak.
"Sekiranya diberikan peluang, saya mahu kongsi pengalaman dengan murid sekolah atau sesiapa sahaja sahaja yang berminat dengan bola dan bercita-cita mahu menjadi pemain bola sepak.
“Namun dalam masa yang sama, saya berharap perniagaan air balang ini boleh berkembang," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


