'Kita sudah banyak bagi sokongan kepada bola sepak'

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

TIDAK timbul sebarang isu kerajaan tidak memberikan sokongan kepada sukan bola sepak, apatah lagi ia menjadi antara sukan yang mendapat perhatian sepenuhnya di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, segala usaha dan bantuan yang mampu diberikan oleh pihak kerajaan telah pun dilaksanakan demi memastikan kemajuan bola sepak Malaysia.

“Untuk pihak kerajaan, memang apa yang dah boleh dilakukan, telah pun dilakukan untuk memberi sokongan kepada bola sepak.

“Tuduhan yang selalu orang lain beri kepada kerajaan adalah terlalu memihak kepada bola sepak. Jadi, tidak ada isu kita tidak sokong. Kita sudah banyak beri sokongan kepada bola sepak,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pasukan dalam saingan Liga Malaysia, terutama Liga Super, menghadapi masalah dari segi kewangan yang menyaksikan banyak pasukan berkemungkinan terpaksa gulung tikar.

Isu tersebut turut dibayangi masalah seperti ketiadaan penaja untuk menaja pasukan, sekali gus timbul cadangan agar kerajaan memberikan pengecualian cukai kepada syarikat yang sanggup mengeluarkan dana dalam sukan bola sepak.

Hannah berkata, sukan bola sepak antara sukan yang sememangnya agak mudah untuk mendapatkan tajaan berbanding sukan lain di negara ini.

“Kalau ada satu sukan yang memang tidak ada masalah cari penaja adalah bola sepak berbanding dengan semua sukan yang lain.

“Jadi, kalau kelab-kelab lain boleh dapat penaja, saya rasa tidak ada sebab kalau ada pasukan yang kata mereka tidak dapat penaja.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin kerana pentadbiran kurang menarik atau penaja tidak ada keyakinan terhadap pasukan,” katanya.

Justeru, beliau mahu setiap pasukan memperbaiki cara menguruskan pasukan agar lebih banyak penaja sanggup menaja.

“Kalau ada isu seperti pembayaran gaji, memang kalau saya sebagai penaja pun saya tidak mahu terlibat. Jadi, saya mahu semua kelab ini ‘bersihkan’lah.

“Seperti yang saya telah nyatakan, kalau mereka tidak mampu, mungkin boleh serah kepada orang lain yang berminat untuk menjaga kelab-kelab tersebut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!