Pesakit di hospital Gaza bergelut untuk hidup

Hamza, 7, mengalami kesan melecur tahap tiga menerima rawatan di kemudahan perubatan itu.
Hamza, 7, mengalami kesan melecur tahap tiga menerima rawatan di kemudahan perubatan itu.
A
A
A

GENTING GAZA - Kumpulan pesakit di hospital yang masih beroperasi di Genting Gaza semakin terancam dek sekatan Israel ke atas bantuan kemanusiaan dan bekalan penting lain yang sudah berlarutan selama tiga bulan.

Penduduk Palestin di seluruh wilayah itu bergelut untuk terus hidup malah kemudahan kesihatan juga tidak lagi dapat menyediakan makanan buat pesakit yang sedang menerima rawatan.

“Kebanyakan pesakit sudah kehilangan berat badan sejak dua bulan lalu,” kata Pakar Bedah Am, Dr Khaled Alserr di Hospital Nasser di bandar selatan Khan Yunis.

Menurutnya, bekalan nutrisi tambahan untuk pesakit di unit jagaan rapi (ICU) juga semakin berkurangan.

“Tangan kami terikat apabila perlu menentukan pilihan terbaik buat pesakit kerana sumber yang sangat terhad,” jelasnya.

Sejak beberapa minggu lalu, kumpulan bantuan memberi amaran krisis malnutrisi semakin meningkat di seluruh Gaza.

Ribuan kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan selain golongan dewasa tidak mendapat nutrien yang cukup.

Hospital Nasser yang berulang kali dibedil Israel antara kemudahan perubatan yang masih beroperasi di wilayah itu.
Hospital Nasser yang berulang kali dibedil Israel antara kemudahan perubatan yang masih beroperasi di wilayah itu.

Artikel Berkaitan:

Dianggarkan, kira-kira 16,000 wanita hamil dan ibu baru melahirkan bayi berdepan malnutrisi akut.

Kumpulan bantuan terpaksa menghentikan agihan makanan dan bakeri terpaksa ditutup sejak sekatan terhadap bantuan kemanusiaan dikuatkuasakan Zionis pada 2 Mac lalu.

Penduduk Palestin terpaksa bergantung penuh kepada dapur kecemasan yang menyediakan masakan panas buat mereka yang mana sumber tersebut juga kian habis.

Tiada apa yang tinggal hanya sedikit makanan dalam tin dan sayur-sayuran yang dijual pada harga melambung tinggi.

Pada minggu lalu, Israel mengumumkan rancangan untuk mengawal agihan bantuan di Gaza menggunakan kontraktor swasta.

Tetapi, pelan itu ditentang kumpulan bantuan antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana pembahagian bantuan pastinya berlaku secara tidak adil dan menyebabkan pemindahan paksa penduduk Palestin yang secara jelas melanggar undang-undang antarabangsa. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!