Muhammad Bakhthiar ganti Nurul Izzah

Bakhthiar dan Nurul Izzah
Bakhthiar dan Nurul Izzah
A
A
A
PERMATANG PAUH - Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakthiar Wan Chik dilantik sebagai pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri(MPN) PKR Pulau Pinang yang baharu.

Keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat yang diadakan bersama bekas Pengerusi MPN sebelum ini, Nurul Izzah Anwar yang melepaskan semua jawatannya di dalam parti pada 17 Disember tahun lalu.

Turut dilantik, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin selaku Timbalan Pengerusi MPN dan jawatan naib pengerusi disandang oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

MPN Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, jawatan setiausaha disandang oleh Zulkifli Saad dan Francis Joseph kekal sebagai bendahari seperti sebelum ini.

Dalam kenyataan itu, MPN turut menyatakan rasa komited untuk memulakan gerakan bagi memacu pasukan MPN baharu ini supaya lebih stabil, dinamik dan komited terhadap agenda reformasi demi menzahirkan kebajikan yang bermakna untuk rakyat di negeri ini.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, usaha kumpulan wartawan yang menunggu sejak jam 4 petang bagi mendapatkan reaksi daripada Nurul Izzah mahupun Bakthiar gagal selepas mereka enggan memberi sebarang kenyataan kepada media.

Kedua-dua pemimpin PKR itu dilihat bergegas ke kenderaan masing-masing sebelum meninggalkan bangunan Kompleks Yayasan Aman, Penanti di sini.