PGA gempur lombong dan pangkalan haram, 18 PATI ditahan

KOTA BHARU - Seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya di cekup Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi di dua lokasi berasingan di Rantau Panjang dan Kuala Krai pada Rabu.
Daripada jumlah itu, warganegara Bangladesh dan Thailand merupakan PATI yang paling ramai ditangkap iaitu masing-masing tujuh orang, Nepal (3), Indonesia (1) serta seorang penduduk tempatan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan pertama dilakukan di lombong bijih besi di Kampung Pahi, Kuala Krai sekitar jam 1.30 petang.
"Hasil pemeriksaan di kawasan terbabit telah menemukan 11 PATI daripada Bangladesh, Nepal dan Indonesia.
"Seorang daripada mereka tidak mempunyai permit kerja manakala empat daripadanya permit sudah tamat dan selebihnya gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Menurut beliau, kesemua suspek ditahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai untuk tindakan selanjutnya.
Ujarnya, tangkapan kedua pada jam 3.50 petang semasa rondaan Op Taring Wawasan seramai empat lelaki warganegara Thailand ditahan kerana memasuki Malaysia melalui pangkalan haram Azizah di Rantau Panjang.
Nik Ros Azhan memberitahu, mereka ditahan bawah Seksyen 5(2) serta 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke IPD Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.
"Pada jam 6.40 petang tiga lelaki warganegara Thailand serta seorang wanita penduduk tempatan berusia 55 tahun telah dicekup di SJR (sekatan jalan raya) Chabang Empat Salam dalam sebuah kereta.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua warga Thailand terbabit gagal menunjukkan dokumen pengenalan sah," katanya.
Menurut beliau, wanita terbabit ditahan bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 manakala kesemua lelaki tersebut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Ujarnya, tiga daripada warganegara Thailand itu didapati positif dadah jenis meth dan disiasat bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, di mana kesemua mereka dibawa ke IPD Pasir Mas untuk siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!