Guna AI bendung rasuah pinjaman

SHAH ALAM - Teknologi pemantauan berasaskan kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan secara menyeluruh bagi mengesan sebarang pola permohonan pinjaman mencurigakan dalam institusi kewangan.
Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, sistem tersebut dapat membantu mengenal pasti sebarang aktiviti luar kebiasaan yang berpotensi berlaku secara sistematik.
Menurutnya, penggunaan AI secara automatik dapat memberi amaran awal kepada pihak bank serta mempercepat proses siasatan dalaman.
“Dengan jumlah permohonan pinjaman yang tinggi setiap hari, adalah mustahil untuk bergantung sepenuhnya kepada semakan manusia.
“AI boleh membantu mengesan corak berulang seperti pengesahan palsu, kelulusan luar biasa dan potensi konflik kepentingan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, tiga pegawai daripada dua institusi perbankan di Kuala Lumpur direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram serta rasuah membabitkan permohonan pinjaman berjumlah lebih RM21 juta.
Perintah reman sehingga 18 Mei terhadap kesemua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sesyen Putrajaya, pada Rabu.
Dalam pada itu, Nor Halmey menegaskan bahawa kes tersebut amat membimbangkan kerana melibatkan pegawai kanan institusi kewangan yang sepatutnya menjadi penjaga amanah kewangan negara.
“Ia bukan sahaja mencemarkan imej bank berkenaan, malah mencetuskan persoalan serius mengenai tahap integriti dalam sektor perbankan yang merupakan tulang belakang sistem ekonomi negara.
“Rasuah dalam bentuk manipulasi permohonan pinjaman boleh menyebabkan risiko kewangan yang besar dan merencatkan keyakinan pelabur serta rakyat,” ujarnya.
Jelasnya, kelemahan sistem pengawasan dan mekanisme semak dan imbang (‘check and balance’) turut membolehkan pegawai menyalahgunakan kuasa, termasuk pengesanan konflik kepentingan serta semakan rekod pemohon.
Tambah beliau, kepercayaan awam turut menjadi implikasi besar apabila rakyat mempersoalkan kecekapan dan keadilan sistem pinjaman, terutama bagi pemohon yang layak tetapi gagal memperoleh pembiayaan disebabkan amalan tidak berintegriti pegawai bertugas.
“Jadi sebab itu, dasar pertukaran jawatan atau ‘rotation policy’ dan cuti wajib (‘mandatory leave’) disarankan bagi mengelakkan pegawai memegang jawatan yang sama terlalu lama sehingga membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.
“Bukan itu sahaja, langkah penambahbaikan juga termasuk memperketat hukuman terhadap penjawat sektor kewangan yang menyalahgunakan kuasa serta meluaskan skop pendedahan harta dan konflik kepentingan untuk sektor swasta, bukan hanya penjawat awam.
“Paling penting adalah kerjasama antara Bank Negara Malaysia (BNM), SPRM dan institusi perbankan perlu diperkukuh bagi mempertingkat aspek pemantauan serta pencegahan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
