CDERT-APM Team Amal Kazuko santuni lebih 200 Orang Asli di Pos Lenjang

KUALA LUMPUR - Pasukan Tindakan Kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (CDERT-APM) Team Amal Kazuko di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan menganjurkan program Pos Lenjang 3.0 selama tiga hari bermula 9 Mei lalu bagi menyantuni dan melaksanakan program bersifat tanggungjawab sosial korporat untuk penambahbaikan kualiti hidup lebih 200 Orang Asli di Kuala Lipis, Pahang.
Penyelaras program, Datuk Seri Noorha Wisma Hisham Abdul Wahab berkata, dalam kunjungan ketiga ke perkampungan Orang Asli itu, seramai 60 anggota terlibat mengagihkan barangan keperluan dapur seperti beras, tepung, gula, biskut dan roti.
"Selain itu, kami turut memberikan sumbangan zakat RM50 bagi setiap keluarga dan setiap kanak-kanak menerima RM5. Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup mereka malah menerapkan elemen anjakan mengutamakan kebajikan rakyat yang diusahakan dalam pentadbiran Kerajaan Madani.

"Terima kasih kepada Pengarah APM Wilayah Persekutuan, Kolonel (PA) Effendy Ali selaku penaung program yang komited menyokong hasrat murni menyantuni masyarakat Orang Asli," katanya.
Beliau berkata, antara pengisian sepanjang tiga hari program itu berlangsung ialah ziarah mahabbah, gotong-royong membersihkan kawasan surau, gotong-royong memasak, pengenalan kepada kesenian Islam dan motivasi umum khusus kepada masyarakat Orang Asli.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan), Datuk Ismail Mohd Zawawi; Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan Ibu Pejabat APM, Dr Mohammad Fazli Sardi; Pengarah APM Negeri Kelantan, Mohd Adzhar Mujab; Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Raja Shamri, Raja Shamri Raja Husin dan Bendahari Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Wan Azhar Yusof.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!