27 anggota Perkhidmatan Pertahanan Awam Gaza masih ditahan tentera Israel

BANDARAYA GAZA - Seramai 27 anggota Perkhidmatan Pertahanan Awam Gaza masih ditahan oleh tentera Israel, lapor Agensi Anadolu (AA), yang memetik kenyataan agensi itu pada Isnin.
"Sekurang-kurangnya 97 anggota pertahanan awam terbunuh, 319 yang lain cedera termasuk puluhan yang mengalami kecacatan kekal dalam serangan Israel," menurut kenyataan itu.
Menurut agensi itu, Ahmad al-Kahlout, Ketua Agensi Pertahanan Awam di utara Gaza adalah antara mereka yang ditahan tentera Israel.
Satu perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tawanan berkuat kuasa di Gaza pada Ahad, sekali gus menghentikan serangan genosid Israel terhadap wilayah Palestin itu.
Perjanjian tiga fasa ini termasuk pertukaran tawanan dan keamanan berterusan dengan matlamat mencapai gencatan senjata kekal dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.
Menurut Perkhidmatan Pertahanan Awam, pasukan mereka mengeluarkan mayat 38,000 orang dari bawah runtuhan bangunan yang musnah di Gaza sejak permulaan serangan Israel pada 7 Oktober 2023.
Menggambarkan utara Gaza sebagai "timbunan runtuhan," agensi itu memohon kepada pasukan pertahanan awam Arab dan negara asing untuk membantu dalam usaha menyelamat di kawasan yang dibom.
Hampir 47,000 rakyat Palestin terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala lebih 110,700 yang lain cedera dalam serangan Israel terhadap Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Pendudukan Israel juga menyebabkan lebih 11,000 orang hilang dengan kemusnahan meluas dan krisis kemanusiaan yang meragut nyawa ramai warga emas dan kanak-kanak.
Pada November, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap untuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas serangan yang dilancarkan ke atas wilayah Palestin. - Bernama-AA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
