Anak Orang Asli asli cemerlang ditawar biasiswa penuh ke IPMa

TAPAH - Semua anak-anak Orang Asli yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditawarkan biasiswa penuh bagi menyambung pengajian di Institusi Pendidikan Mara (IPMa) di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka terdiri daripada 87 orang anak Orang Asli memperoleh keputusan 5A ke atas di seluruh negara.
"Sebagai Menteri KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) di mana Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) begitu jua Mara di bawahnya, saya telah arahkan Pengerusi Mara, bagi anak-anak Orang Asli yang dapat 5A dan ke atas wajib diberikan biasiswa 100 peratus untuk melanjutkan pelajaran mereka ke IPMa.
"Mereka boleh mohon untuk masuk ke UniKL, Kolej Poly-Tech Mara dan lain-lain institusi di bawah Mara," katanya ketika berucap sempena Majlis Santuni Kasih Syawal di Kampung Orang Asli Sungai Kroh Dalam di sini pada Jumaat.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ahmad Zahid berkata, Mara juga diminta mengenal pasti anak-anak Orang Asli lain untuk diberikan peluang menyambung pengajian dalam institusi yang menawarkan pendidikan kemahiran dan vokasional (TVET) bersesuaian.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan pengumuman itu dibuat bukan kerana Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebaliknya tawaran yang dinyatakan itu juga terbuka kepada semua anak-anak Orang Asli di seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

