Kerajaan dicadang semak kaedah penentuan harga minyak - Bumipeda

SHAH ALAM - Kerajaan dicadangkan untuk menyemak semula Kaedah Harga Automatik (APM) dalam menentukan harga bahan api agar terus relevan dengan perubahan ekonomi dan teknologi.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda), Datuk Abd Aziz Sapian berkata, penyusunan semula kaedah tersebut membantu memastikan penyasaran subsidi dilaksanakan dengan lancar, saksama dan mampu memelihara kestabilan bekalan serta kesejahteraan rakyat.
Jelas beliau, penyasaran subsidi berasaskan sistem adil akan memastikan manfaat dirasai di seluruh peringkat daripada pengguna, pengusaha hingga ke ekonomi negara secara menyeluruh.
"Stesen minyak bukan sekadar entiti perniagaan, ia merupakan sebahagian daripada infrastruktur tenaga negara yang menyokong pergerakan ekonomi dan kehidupan harian rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
"Ketahanan operasi stesen akan menjamin akses rakyat kepada bahan api pada kadar berpatutan, menyokong kestabilan kos logistik dan harga barang keperluan, mendorong pelaburan dalam teknologi hijau dan pembangunan infrastruktur kenderaan elektrik (EV)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Justeru, Abd Aziz berkata, pihaknya menggalakkan agar proses penyusunan semula subsidi dan APM dilaksanakan melalui libat urus terbuka melibatkan pelbagai pihak yang mempunyai kepakaran dan pengalaman.
Beliau berpandangan, pendekatan inklusif tersebut diyakini dapat menghasilkan dasar yang lebih telus, pragmatik dan diterima secara menyeluruh.
Menurutnya lagi, Bumipeda turut mencadangkan beberapa langkah praktikal iaitu pelaksanaan subsidi secara berperingkat sehingga 2027 dengan had kenaikan harga yang munasabah dan terkawal ke arah sistem yang lebih saksama.
"Selain itu, penyaluran subsidi terus kepada kumpulan sasar (B40 dan M40) melalui platform digital yang selamat dan telus serta semakan menyeluruh terhadap APM bagi mengambil kira realiti kos operasi semasa," ujarnya.
Dalam pada itu, tambahnya, transaksi bahan api kini semakin didominasi oleh penggunaan kad dan e-dompet, namun struktur Merchant Discount Rate (MDR) yang dikenakan berdasarkan harga pam menimbulkan ketidakseimbangan.
Bagaimanapun, menurutnya, penyelesaian yang menyeluruh akan membolehkan transaksi digital diteruskan dengan lebih inklusif dan mampan untuk semua pihak.
Dalam perkembangan sama, Abd Aziz memaklumkan, Bumipeda menyambut baik usaha kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 secara lebih bersasar dan mampan.
"Bumipeda berpandangan reformasi akan lebih berkesan sekiranya dilaksanakan berasaskan sistem yang dikemas kini dan disokong data pasaran yang tepat serta dirangka melalui proses libat urus yang menyeluruh melibatkan semua pihak berkepentingan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!