LBS Bina Group rancang projek mega di Klebang

MELAKA - Pembangunan di negeri ini terus diperkasakan melalui perancangan projek bercampur di Klebang dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) melebihi RM7 bilion di atas tanah seluas 227 hektar secara berperingkat.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina Group Berhad (LBS), Tan Sri Datuk Seri Ir Lim Hock San berkata, kewujudan projek bercampur ini dapat menjana ekonomi dan transformasi bandar di Melaka sekali gus merealisasikan peranan Melaka sebagai salah sebuah Hab Pembangunan Wilayah Tengah negara.
Menurutnya, ini juga menandakan satu pencapaian penting bagi pihaknya dalam memperluaskan pembangunan ke wilayah selatan sebagai bukti komitmen mereka terhadap pembangunan serantau dan komuniti berteraskan rakyat.
Katanya, langkah ini juga merupakan salah satu usaha pihaknya untuk memenuhi keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya dalam sektor pengeluaran minyak dan gas, pembuatan, rantaian bekalan makanan dan minuman, logistik serta pergudangan.
Selain itu, unit industri turut mempunyai nilai komersial dan berfungsi sebagai ruang pameran runcit kerana terletak di hadapan jalan utama.
"Kawasan Klebang dipilih kerana terletak di lokasi strategik dalam Projek Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) yang menawarkan potensi pertumbuhan yang tinggi melalui akses pantai dan infrastruktur yang semakin berkembang.
"Butiran khusus mengenai lokasi dan pecahan kawasan tanah akan dimuktamadkan melalui Perjanjian Muktamad (Definitive Agreements) yang akan dipersetujui bersama oleh semua pihak yang terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara LBS dan Oriental Holdings Berhad (OHB) di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini pada Khamis.
Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Terdahulu, MoU itu ditandatangani Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Seri Lim Hock Sing dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan OHB, Datuk Loh Kian Chong dengan disaksikan Ab Rauf.
Ujarnya, melalui kolaborasi ini pihaknya bersemangat untuk membangunkan Klebang sebagai sebuah kawasan perbandaran yang berdaya maju dan mampan.
Sementara itu, Ab Rauf berkata, pembangunan itu merupakan satu langkah tepat memandangkan lokasinya yang strategik di antara tiga pelabuhan utama yang telah dan akan dibangunkan.
Malah, menurutnya, kewujudan industri limbungan pembinaan dan penyelenggaraan kapal di kawasan berdekatan turut menyokong potensi kawasan itu berkembang sebagai sebuah 'Central Business and Commercial District' yang baharu.
"Besar harapan saya agar inisiatif seumpama ini dapat membawa impak yang lebih besar dalam menyokong hasrat kerajaan negeri untuk merealisasikan perancangan pembangunan Koridor Zon Ekonomi Khas SM-WEZ yang berkonsepkan 'Future Maritime City' sebagai ibu kota Melaka yang baharu.
"Saya yakin dengan kepakaran dan pengalaman luas yang dimiliki oleh LBS Bina Group dan OHB, kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor industri, malah akan menjadi game changer kepada struktur sosioekonomi negeri Melaka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!