Ahli perniagaan tak mengaku miliki minyak masak lebih had

SEREMBAN - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas lima pertuduhan memiliki dan memindahkan barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan serta tidak menyelenggara buku stok, tahun lalu.
Orang Kena Saman (OKS), Ahmad Nizamuddin Setapa, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut tiga pertuduhan, OKS sebagai pemilik perniagaan sebuah syarikat yang memegang lesen borong barang berjadual minyak masak didapati melanggar Peraturan 9(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak sebanyak 177,530 kilogram (kg) iaitu melebihi had 10 tan metrik
Bagi dua pertuduhan lagi ia didapati memindahkan barang kawalan minyak masak berjumlah 3,400kg yang terdapat di dalam muatan lori selain daripada alamat yang dinyatakan dalam lesen borong dan tidak menyelenggara buku stok.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di premis tanpa nama di kawasan perindustrian Nilai 7 di Nilai di sini pada 24 Ogos dan 23 Oktober 2024.
Berikutan itu, OKS didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 22 (4) akta sama dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara dalam tempoh maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan kesalahan kali kedua serta seterusnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Nor Alimah Mohd Sanusi menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan kes itu adalah serius melibatkan barang kawalan minyak masak bersubsidi.
Katanya, jaminan tinggi itu penting bagi mengurangkan risiko tertuduh melarikan diri selain mengambil kira kepentingan awam.
Peguam, Datuk Sukri Mohamed yang mewakili tertuduh dalam rayuannya berkata, akibat daripada kes tersebut perniagaan anak guamnya terjejas dan dia kini hilang mata pencarian.
"OKS telah berkahwin dan mempunyai tiga anak, saya mengakui kesalahan dilakukan adalah serius, namun jaminan wajar diberikan dan mohon diberikan antara RM5,000 ke RM8,000 bagi setiap pertuduhan," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM35,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di KPDN Putrajaya setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak menganggu saksi.
Sebutan semula kes bagi serahan dokumen 19 Jun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

