Ramasamy mengaku tidak bersalah, 17 pertuduhan pecah amanah

Ramasamy (tengah) tiba di Kompleks Mahkamah Butterworth bagi menghadapi 17 pertuduhan salah guna kuasa pada Rabu.
Ramasamy (tengah) tiba di Kompleks Mahkamah Butterworth bagi menghadapi 17 pertuduhan salah guna kuasa pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH – [DIKEMAS KINI] Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, mengaku tidak bersalah terhadap 17 pertuduhan berkaitan jenayah pecah amanah membabitkan jumlah keseluruhan RM859,131.29.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut ketika menerajui Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHNPP).

Ramasamy dituduh di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi kesemua pertuduhan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun, serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Pengakuan tidak bersalah itu dibuat di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, hari ini.

Sebanyak 13 daripada pertuduhan melibatkan pembelian pedati emas, manakala empat lagi berkaitan kelulusan bantuan – dua untuk pendidikan dan dua lagi untuk perubatan.

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-13, Ramasamy didakwa sebagai Pengerusi LWHNPP, yang telah diamanahkan dengan penguasaan dana milik LWHNPP, melakukan pecah amanah jenayah membabitkan jumlah keseluruhan RM779,131.29.

Tertuduh didakwa menyalahgunakan harta tersebut secara tidak jujur dengan membuat bayaran melalui satu cek dan telegraf atas nama seorang kakitangan LWHNPP, L Gunasagaran, untuk pembelian pedati emas daripada syarikat Manasa Wood Creations (MWC), tanpa mendapatkan kelulusan mesyuarat LWHNPP terlebih dahulu.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah bank berasingan di George Town antara Mei 2019 hingga April 2023.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar, manakala Ramasamy diwakili barisan peguam yang diketuai Shamsher Singh Thind. Datuk Selva Mookiah pula hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak LWHNPP.

Artikel Berkaitan:

Noor Azura memohon jaminan sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan berkaitan pembelian pedati emas. Beliau turut mencadangkan dua syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Dalam rayuannya, Shamsher memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan sejak Disember lalu serta hadir ke mahkamah secara sukarela.

"Saya mohon jaminan dikurangkan kerana anak guam saya telah memberi kerjasama yang baik kepada SPRM. Kehadiran beliau hari ini membuktikan keseriusannya. Tambahan pula, bayaran yang dibuat adalah kepada pihak ketiga, bukan kepada dirinya atau ahli keluarga,” katanya.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Bagi pertuduhan ke-14 dan ke-15, Ramasamy didakwa melakukan pecah amanah jenayah apabila secara tidak jujur menggunakan dana LWHNPP untuk membuat bayaran RM50,000 melalui satu cek atas nama V. Mangayakarasiy pada 9 Mac 2020, dan RM15,000 melalui satu cek atas nama Danial Saundra Rajan Abdullah pada 24 Ogos 2021.

Kedua-dua bayaran tersebut melibatkan bantuan perubatan yang dilakukan tanpa kelulusan mesyuarat LWHNPP.

Dua pertuduhan selebihnya melibatkan bayaran bantuan pendidikan, iaitu RM10,000 melalui satu cek atas nama T Sugheetha pada 5 Januari 2022, dan RM5,000 melalui satu cek atas nama C Gowreshankere pada 9 Februari 2022, juga tanpa kelulusan LWHNPP.

Pendakwa memohon jaminan tambahan RM40,000 bagi keempat-empat pertuduhan tersebut, bersama syarat tambahan sama seperti sebelum ini.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan melibatkan bayaran perubatan, dan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan melibatkan bantuan pendidikan.

Ramasamy turut dikenakan syarat tambahan sama – menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Jumlah keseluruhan jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah ialah RM78,000, yang telah dibayar oleh Ramasamy.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!