Suami Pamela Ling diberkas

KUALA LUMPUR – Polis menahan suami kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wanita berkenaan pada 9 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, lelaki tempatan itu diberkas di sekitar ibu kota awal pagi Khamis.
“Individu yang merupakan suami kepada wanita terbabit ditangkap di Kuala Lumpur pada awal pagi tadi.
“Permohonan reman terhadap suspek dibuat di Putrajaya, namun permohonan tersebut telah ditolak,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, tangkapan itu dilakukan bagi membantu siasatan kes kehilangan Pamela, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
Sebelum ini, polis memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyiasat kemungkinan suami kepada Pamela berada dalam senarai suspek.
Media sebelum ini turut melaporkan bahawa pihak polis menjalinkan kerjasama dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan agensi penguat kuasa berkaitan di Singapura bagi tujuan merakam keterangan dua anak mangsa.
Rusdi turut memaklumkan bahawa seramai 27 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan penculikan atau melarikan orang secara salah.
Dalam sidang akhbar terdahulu, beliau turut memaklumkan bahawa lapan individu, termasuk seorang wanita, dipercayai menyamar sebagai pegawai polis sebelum membawa mangsa menaiki sebuah kenderaan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Pamela dilaporkan hilang pada 9 April selepas menaiki sebuah kenderaan e-hailing dari kediamannya di Cheras menuju ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!