Impian bina mahligai cinta musnah, tunang dijemput Ilahi

SEREMBAN - Impian seorang pemuda, Shahzrul Nizal Mohd Sofian, 25, untuk mendirikan rumah tangga bersama tunang tersayang berkecai apabila wanita itu dijemput Ilahi, empat bulan sebelum tarikh mereka sepatutnya diijab kabul.
Dalam kejadian pada 24 April lalu, motosikal ditunggang Ernie Shahrina Mohd Shah Rudin, 26, melanggar belakang kereta yang membrek secara mengejut, menyebabkan dia tidak sempat mengelak dan mengalami kecederaan parah sebelum menghembuskan nafas terakhir empat hari kemudian.
Shahzrul Nizal yang bekerja sebagai penyelia tapak berkata, tarikh 28 April tidak mungkin dapat dilupakan kerana merupakan tarikh mereka bertunang dan juga tarikh Ernie Shahrina meninggal dunia setahun kemudian.
"Pemergian tunang amat dirasakan kerana kami telah menyulam cinta hampir empat tahun dan hanya menunggu masa untuk diijabkabulkan pada 30 Ogos ini.
"Arwah pergi secara mengejut, saya dapat tahu arwah kemalangan sewaktu pulang dari tempat kerja selepas dimaklumkan oleh bapa arwah sekitar jam 5.30 petang.
"Doktor maklumkan ada pendarahan dalaman di bahagian perut dan pembedahan terpaksa dihentikan sebelum dia ditidurkan selama empat hari," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, arwah Ernie Shahrina menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.57 pagi 28 April lalu, selepas empat hari bertarung nyawa.
Katanya, mengikut perancangan sehari sebelum arwah meninggal dunia, mereka sepatutnya pergi mencuba baju nikah.

"Persiapan kahwin sudah siap 80 peratus. Kad jemputan pun siap dicetak cuma belum sempat diedarkan lagi kerana arwah kemalangan.
"Saya reda tapi hati perit untuk menerima pemergiannya. Dia sentiasa ada dalam ingatan saya ketika saya tidur dan jaga. Ada masa saya harap keajaiban dia kembali menyapa seperti dulu.
"Saya terkilan tidak sempat akhiri cinta kami dengan perkahwinan namun ALLAH SWT adalah sebaik perancang. Kami bertunang di dunia dan harap kami disatukan semula di syurga nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!