Pindah haiwan liar dilindungi, pengarah syarikat didakwa tipu Perhilitan

Tertuduh diiring keluar oleh pegawai SPRM selepas dituduh dalam Mahkamah Sesyen di Kuantan pada Khamis atas tuduhan memperdaya Pengarah Perhilitan Negeri Pahang dalam urusan pemindahan hidupan liar yang dilindungi, empat tahun lalu.
Tertuduh diiring keluar oleh pegawai SPRM selepas dituduh dalam Mahkamah Sesyen di Kuantan pada Khamis atas tuduhan memperdaya Pengarah Perhilitan Negeri Pahang dalam urusan pemindahan hidupan liar yang dilindungi, empat tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN – Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis atas tuduhan memperdaya Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Pahang dalam urusan pemindahan hidupan liar dilindungi, empat tahun lalu.

Tertuduh, Chan Kong Sang, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan salah seorang pengarah syarikat Sentoria Themeparks and Resorts Sdn Bhd didakwa dengan curangnya menyembunyikan fakta bahawa dua ekor singa putih dan seekor kucing Eurasian Lynx telah dijual kepada Zoo Melaka dengan harga RM68,000, dan bukannya dipindahkan secara serahan seperti dinyatakan dalam permohonan rasmi.

Tindakan tersebut adalah bertentangan dengan peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Perbuatan tertuduh itu telah mendorong Pengarah Perhilitan Pahang untuk tidak menghalang permohonan syarikat bagi memindahkan haiwan liar yang dilindungi, kononnya secara serahan kepada Zoo Melaka, seperti dinyatakan dalam surat bertajuk “Disposal of Scheduled Wildlife to Zoo Melaka (Species Protected by the WCA 2010)” bertarikh 11 Mac 2021.

Sebaliknya, pihak Perhilitan tidak akan meluluskan permohonan tersebut sekiranya mengetahui bahawa pemindahan itu bertujuan untuk penjualan dan bukannya serahan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan [Akta 574], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharina Farhana Nor Sa’ari.

Berikutan pengakuan tidak bersalah tertuduh, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan syarat tambahan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Bob Arumugam memohon agar jumlah jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jumlah jaminan dikurangkan kepada RM15,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM di Putrajaya pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!