Enam scammer termasuk remaja bawah umur didakwa di mahkamah

Kesemua enam tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam.
Kesemua enam tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Enam individu termasuk seorang remaja perempuan bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan bersubahat melakukan jenayah penipuan dalam talian pada 13 Mei lalu.

Tertuduh, Cham Chew Lian, 22; remaja perempuan berusia 17 tahun; Leong Wei Yao, 28; Ang Meng Foo, 25; serta dua warga asing iaitu Reasmeykakada, 22 (Kemboja) dan Deng Fei, 38 (China), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah berpakat melakukan jenayah penipuan dalam talian di sebuah kondominium Residensi Sky, Alma, kira-kira jam 5 petang pada 13 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 120B kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anis Suhada Rosli, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Anas Hakimi dan Husna Ridzuan.

Dalam prosiding, pihak pendakwaan memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap kesemua tertuduh atas kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun, peguam pembela memohon agar hukuman denda minimum dikenakan memandangkan kesalahan itu merupakan kali pertama dilakukan oleh tertuduh, selain kebanyakan mereka tidak bekerja dan tiada pendapatan tetap.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM8,000 terhadap lima tertuduh. Sekiranya gagal membayar denda, mereka akan dipenjara selama enam bulan.

Artikel Berkaitan:

Bagi tertuduh bawah umur, mahkamah memutuskan supaya dia dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) dan akan didakwa semula mengikut peruntukan di bawah undang-undang kanak-kanak.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan hadiah palsu menerusi aplikasi Telegram.

Operasi khas yang dijalankan di sebuah kondominium di kawasan Alma, Bukit Mertajam pada Selasa lalu telah membawa kepada penahanan enam individu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 18 hingga 28 tahun, serta seorang lelaki dan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 23 hingga 38 tahun.

Empat individu tempatan yang ditahan mengaku bekerja sebagai operator pusat panggilan sejak seminggu lalu dengan menerima gaji sebanyak RM2,600 sebulan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!