Juruteknik maut van bertembung treler

DUNGUN – Seorang juruteknik maut selepas van yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 88, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), di sini, pada malam Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa, Muhammad Aliff Fakhrullah, 21, yang berasal dari Kampung Paman, Kemaman, dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Kemaman.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa dipercayai cuba memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan treler dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, van yang dipandu mangsa remuk teruk dan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat dan diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Beliau berkata, pemandu treler berusia 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, Maizura menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu, khususnya di laluan berisiko tinggi.
“Sentiasa pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!