Wanita OKU maut dilanggar van ketika lintas jalan

GUA MUSANG - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) maut dalam kemalangan di kilometer 26, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Gua Sejuk di sini dipercayai dilanggar sebuah van semasa mahu melintas jalan pada Sabtu.
Dalam kemalangan jam 11.30 pagi itu, mangsa, Asiah Mohamad Noor, 61, yang merupakan OKU mental maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa cuba melintas dari kiri ke kanan.
"Pada masa sama, sebuah van jenis Toyota Hiace dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai dipercayai tidak sempat brek lalu melanggar warga emas berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut beliau, pelanggaran itu menyebabkan wanita berkenaan maut di lokasi.
Ujarnya, mayat warga emas berkenaan kemudian dibawa ke Unit Forensi Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
"Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!