TH perkenal GoogleWalk elak jemaah sesat di Makkah

MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan platform navigasi baharu GoogleWalk yang berasaskan Google Maps bagi mengatasi isu jemaah haji tersasar atau gagal mengenal pasti jalan pulang ke bangunan penginapan.
Menurut Pengarah Operasi Maktab Makkah, Mohd Fahmi Kamaruddin, perangkaan kes jemaah tersasar dari laluan dan sukar mencari jalan pulang agak tinggi setiap tahun.
Katanya, meskipun terdapat pasukan peronda di sekitar Masjidil Haram, namun pihaknya mendapati apabila terlalu ramai orang, jemaah haji akan mula panik dan mereka tidak dapat mengenal pasti jalan yang sepatutnya untuk pulang ke bangunan penginapan.
Jelasnya, platform itu dibangunkan oleh Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Jabatan Haji hasil integrasi e-Book petugas haji.
“Tahun ini kita perluaskan penggunaannya kepada jemaah. Sebelum ini, jemaah bergantung kepada lokasi langsung dalam kumpulan WhatsApp maktab masing-masing.

“Biasanya jemaah tersasar selepas selesai saie dan keluar dari kawasan Marwah. Mereka akan keliru sama ada mahu ke kanan atau ke kiri. Dengan aplikasi ini, mereka hanya perlu ikut panduan yang diberikan untuk kembali ke tempat penginapan,” katanya.
Beliau berkata, jemaah haji perlu memastikan Google Maps diaktifkan dan hanya klik pautan lokasi yang diberikan bagi menggunakan aplikasi tersebut.
“Sebaik klik pada pautan bangunan penginapan, jemaah akan terus dibawa ke paparan pandu arah melalui GoogleWalk seperti fungsi Street View. Tidak perlu muat turun apa-apa aplikasi tambahan,” katanya.
Mohd Fahmi berkata, platform itu dibangunkan secara spesifik untuk tujuh bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di Makkah dan turut membantu jemaah mendapatkan teksi atau menggunakan bas tempatan dengan lebih mudah.
“Sebelum ini, kita ada guna beberapa aplikasi dari negara luar, tapi ia tidak mesra pengguna bagi jemaah Malaysia,” katanya lagi.
Tambahnya aplikasi tersebut tidak menggunakan data internet yang banyak dan amat sesuai untuk digunakan oleh warga emas.
“Ia sangat mesra pengguna dan boleh digunakan walaupun oleh jemaah yang berusia. Tidak memerlukan banyak internet dan tidak rumit,” katanya.
Sementara itu, jemaah haji, Sudiman Ahmad Tinggal, 52, berkata aplikasi itu sangat mudah digunakan terutama bagi golongan berusia sepertinya.
“Kemudahan ini sangat membantu, sekali tekan sahaja terus bawa ke mana kita nak pergi.
“Keberangkalian untuk sesat sangat berkurang dengan adanya aplikasi ini,” katanya.
Seorang lagi jemaah, Wan Rossahira Wan Jusoh, 33, yang juga jururawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyifatkan aplikasi itu amat membantu jemaah wanita.
“Sebelum ini saya ingat boleh guna di Malaysia sahaja. Rupa-rupanya sangat membantu kami kaum wanita yang tidak biasa mencari jalan.
“Sekali tekan, terus dibawa ke lokasi yang ingin dituju,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!