Mat Sentol wajar diangkat Seniman Negara

Mat Sentol atau nama sebenarnya, Abdul Rasip Yahya ialah satu nama yang wajib disebut sebaris dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin.
Mat Sentol atau nama sebenarnya, Abdul Rasip Yahya ialah satu nama yang wajib disebut sebaris dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin.
A
A
A

DALAM sejarah panjang perfileman Melayu, tidak ramai tokoh boleh digelar perintis sejati. Namun, Mat Sentol atau nama sebenarnya, Abdul Rasip Yahya ialah satu nama yang wajib disebut sebaris dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin.

Kini pada usia 92 tahun, ketika tubuhnya semakin uzur, negara patut bertanya — adakah kita sudah benar-benar menghargai sumbangan besar insan seni ini?

Mat Sentol bukan sekadar pelakon atau pelawak eksentrik. Beliau perintis kesan khas dalam filem Melayu, sesuatu yang jauh mendahului zamannya.

Pada era 1960-an dan 70-an, ketika teknologi imej janaan komputer (CGI) masih asing, beliau menghasilkan ilusi visual menggunakan tangan dan kreativiti tulen.

Filem arahannya seperti Mat Bond, Mat Magic dan Mat Tiga Suku menjadi bukti beliau berani meneroka teknik seperti superimpose, manipulasi imej serta lukisan terus atas negatif filem.

Dalam satu adegan filem Mat Bond, beliau melukis kesan laser secara manual. Ia adalah satu usaha yang mengagumkan jika dinilai dengan piawaian hari ini.

Sayangnya, sumbangan Mat Sentol tidak pernah mendapat penghormatan sewajarnya daripada arus perdana.

Beliau pernah menerima Anugerah Legenda daripada Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) dan Anugerah Kehormat Permata Dunia (Universiti Multimedia), namun gelaran Seniman Negara iaitu pengiktirafan tertinggi negara dalam bidang seni, masih belum diberikan. Ia suatu kelompangan yang perlu segera diperbetulkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam senarai seniman yang pernah diangkat, jarang ada tokoh yang mewarisi kepelbagaian sumbangan teknikal, estetika dan naratif seperti beliau.

Legasi Mat Sentol ialah keberanian beliau untuk mencuba dan membayangkan sesuatu di luar kebiasaan.

Apa pun, pengiktirafan Seniman Negara kepada Mat Sentol bukan sekadar simbolik. Ia manifestasi bahawa negara menghargai pencetus idea dan pembuka jalan.

Sudah tiba waktunya Mat Sentol diangkat sebagai Seniman Negara. Kalau bukan sekarang, bila lagi? Apakah negara hanya akan menghargai Mat Sentol apabila beliau sudah tiada nanti?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!