IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025 uji daya tahan pelari

BERTEMAKAN Highway Legend, acara tahunan larian di lebuh raya sekali lagi bakal membakar semangat juang dan menguji ketahanan pelari dalam IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025 edisi ketujuh, yang dijadualkan berlangsung pada 3 Ogos depan.
Edisi kali ini bermula dari Sunway Pyramid meneruskan legasi cabaran unik yang membawa peserta merentasi laluan bersambung di Lebuhraya New Pantai Expressway (NPE) dan Lebuhraya Besraya, di bawah kendalian Divisyen Tol IJM.
Pelari boleh memilih pelbagai kategori jarak, bermula dari larian santai 5 kilometer (km) hingga ke maraton penuh 42km yang menguji ketahanan fizikal dan mental.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai berkata, penganjuran bersama IJM Corporation Berhad dan Allianz Malaysia Berhad ini mencerminkan visi bersama dalam mempromosikan gaya hidup sihat, menyediakan platform larian yang selamat dan inklusif, serta memajukan arena sukan larian tanah air.
"Setiap penganjuran IJM Allianz Duo Highway Challenge mendorong kami untuk melangkaui batasan, bukan sahaja dari aspek jarak larian, malah bagaimana kami mengaktifkan infrastruktur utama seperti Lebuhraya NPE dan Besraya untuk mencipta pengalaman yang bererti bersama komuniti.
"Dengan pengiktirafan daripada World Athletics dan sokongan padu rakan kongsi kami, acara ini bukan sekadar larian, tetapi sebuah platform bertaraf antarabangsa yang tetap menjunjung identiti Malaysia.
"Ia adalah platform ke arah kehidupan yang lebih sihat, semangat kebersamaan, dan momentum yang kami banggakan setiap tahun," katanya selepas pelancaran IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025 di Petaling Jaya pada Rabu.
Bagi edisi 2025, pihak penganjur menjangkakan lebih 12,000 peserta dan setakat ini, mereka sudah mencapai 80 peratus daripada warga tempatan akan menyahut cabaran kali ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang, menyifatkan acara ini satu penghormatan apabila dapat bekerjasama buat kali ketujuh bersama dengan IJM Corporation Berhad dalam penganjuran perlumbaan berkenaan.
"Sebagai penaja utama, Allianz Malaysia Berhad berbesar hati untuk bekerjasama dengan IJM Corporation Berhad sekali lagi untuk IJM Allianz Duo Highway Challenge, yang sangat dinantikan komuniti larian.
"Di Allianz, kami menitikberatkan gaya hidup sihat serta aktif, gaya hidup lestari yang dijelmakan menerusi nilai-nilai dalam larian ini.
"Larian ini juga mempamerkan ketabahan, semangat kemanusian serta tahap kemenangan yang boleh diraih apabila kita menyokong satu sama lain," katanya.
Larian kali ini menyaksikan penutupan lebuh raya sepenuhnya dengan sokongan pacers profesional, stesen hidrasi dan sokongan perubatan sepanjang laluan serta juga mendapat sokongan Kementerian Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Pesuruhjaya Sukan (PJS).
Sementara itu, Pengarah acara IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025, Eugene Chan berkata: "Aspek keselamatan dan kesejahteraan peserta menjadi keutamaan penganjur.
"Penutupan jalan dan sokongan perubatan telah dirancang dengan teliti demi memastikan setiap peserta mendapat pengalaman yang selamat dan menyeronokkan.
"Acara ini bukan sekadar perlumbaan, sebaliknya pentas keterangkuman dan kegembiraan dalam pergerakan larian yang unik di atas dua lebuh raya ikonik," katanya.
INFO
IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025
Kategori:
42 kilometer
21 kilometer
10 kilometer
5 kilometer
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!