ATF 2025 fokus pelancongan mampan, daya tahan kukuhkan hubungan

JOHOR BAHRU - Forum Pelancongan Asean (ATF) 2025 akan memberi fokus terhadap strategi pembinaan pelancongan inovatif, mampan dan berdaya tahan untuk mengukuhkan hubungan fizikal serta budaya antara negara anggota.
Forum Pelancongan ASEAN 2025 menonjolkan ASEAN sebagai destinasi pelancongan yang kukuh dan dinamik.
Kenyataan bersama Menteri Pelancongan ASEAN berkata, hasrat tersebut bertepatan dengan tema Unity in Motion: Shaping ASEAN Tourism Tomorrow yang mengetengahkan kerjasama untuk mengubah industri pelancongan rantau ini.
Malaysia yang juga pengerusi bagi ASEAN tahun ini turut berkongsi pandangan untuk menerapkan nilai-nilai kelestarian alam sekitar dan inklusif sosial merentasi inisiatif ekonomi serta sosial.
Antara program utama sepanjang forum tersebut berlangsung ialah Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN Ke-28, Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN, China, Jepun dan Republik Korea (ASEAN + 3) Ke-24, Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN-India Ke-12 dan Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN-Rusia Keempat.
“Forum ini memberi tumpuan kepada memupuk pelancongan yang mampan, berdaya tahan dan inklusif di Asia Tenggara selain mencerminkan komitmen kami untuk membina sebuah negara ASEAN yang mampan.
“Ia menonjolkan hubungan budaya dan fizikal ASEAN selain memberi tumpuan kepada membina sektor pelancongan yang berdaya tahan, inovatif serta mampan.
“Ini sejajar dengan matlamat Malaysia untuk menjadikan ASEAN peneraju global dalam pelancongan yang mampan dan inklusif melalui perkongsian serta inisiatif berfikiran ke hadapan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, dalam Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN Ke-28, turut membincangkan Pelan Strategik Pelancongan ASEAN (ATSP) 2016-2025 yang telah selesai 70 peratus aktivitinya.
Menerusi mesyuarat tersebut turut memfokuskan kepada kemampanan dan daya tahan, termasuk menambah baik sumber manusia, mempromosikan pelancongan mampan, dan mengukuhkan komunikasi krisis.

Dalam mesyuarat itu, Malaysia mencadangkan penyeragaman Prestasi Pelancongan ASEAN menggunakan data pelawat untuk menjana data yang lebih tepat dan komprehensif berhubung sumbangan ekonomi mereka.
“Untuk mengukuhkan hubungan ASEAN-Australia, Malaysia mencadangkan supaya mewujudkan Mekanisme ASEAN-Australia,” katanya.
Dalam pada itu, Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN, China, Jepun dan Republik Korea (ASEAN + 3) Ke-24 memberi penekanan terhadap pembangunan Pelan Kerja Kerjasama Pelancongan 2021-2025 setelah menyaksikan lebih 190 juta pelawat pada 2024.
Jumlah tersebut berikutan sokongan pelancong luar bandar dari China, promosi kemampanan dan daya tahan oleh negara Jepun serta sumbangan Korea melalui Program Korea Partnership Initiative for Sustainable Tourism (KOPIST).
“Menteri-menteri menekankan keperluan untuk membangunkan Rancangan Kerja 2026-2030, memfokuskan kepada pemasaran bersama dan pelancongan mampan,” ulasnya.
Sementara itu, melalui Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN-India Ke12, perbincangan tertumpu pada pelancongan pelayaran, hubungan udara dan maritim.
Perkongsian ASEAN-India menandakan 2025 sebagai Tahun Pelancongan ASEAN-India, mengukuhkan hubungan budaya.
Dalam Mesyuarat Pelancongan Persekutuan ASEAN-Rusia Keempat, turut memberi fokus terhadap pertukaran budaya, kemampanan dan pembinaan kapasiti.
Bersempena ATF 2025, Malaysia turut menganjurkan ASEAN Travel Exchange (TRAVEX 2025) iaitu platform perniagaan bagi meneroka potensi dan memperkukuh pertumbuhan sektor pelancongan.
Program itu mengumpulkan 323 pembeli, 221 penjual, 221 pempamer dan 100 wakil media.
Dalam pada itu, menerusi forum tersebut, Malaysia turut mengumumkan Filipina sebagai Pengerusi ASEAN dan menjadi tuan rumah untuk ATF 2026.
“Hasil daripada mesyuarat dan perkongsian ini mengukuhkan pelancongan rantau ini, menggalakkan persefahaman bersama dan menyokong kemampanan,” jelasnya.
Malaysia- Korea kukuhkan kerjasama bidang pelancongan

JOHOR BAHRU- Pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bertepatan dengan promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 apabila delegasi dari negara serantau Asia Tenggara melihat keindahan alam semula jadi negara ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Sri Tiong King Sing, Malaysia sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelancong antarabangsa dan domestik selain ia dapat mengukuhkan ikatan persahabatan serta kerjasama.
“Kami sentiasa mengalu-alukan pelancong untuk menerokai lagi keindahan dan kepelbagaian Malaysia.
“Saya berharap forum kali ini menjadi panduan untuk kami terus memastikan ASEAN bersinar sebagai pelancongan global. Marilah kita membawa semangat perpaduan dan maju kembali ke negara serta masyarakat kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Rasmi ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025 yang diadakan di Johor.
Forum tersebut menghimpunkan Menteri Pelancongan ASEAN dan ia diadakan bermula 15 sehingga 20 Januari lepas.
Ketika forum itu berlangsung, King Sing yang mewakili Malaysia dan Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Republik Korea, Yu Inchon yang mewakili Korea telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang menggariskan usahasama sektor pelancongan.
King Sing berkata, MoU tersebut dijangka meningkatkan persefahaman bersama, pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai aspek.
“MoU ini menekankan promosi dan pemasaran pelancongan, pembangunan kapasiti, perkongsian maklumat pelancongan dan amalan terbaik, rangsangan pelancongan perniagaan (MICE), dan membangunkan pelancongan berasaskan komuniti serta ekopelancongan.
“Perkongsian ini dijangka membawa manfaat yang berpanjangan kepada keduadua negara, meningkatkan pertukaran budaya dan menjana peluang ekonomi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!