Tahun Baharu Cina: 2.6 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya utama bermula 24 Januari

LLM menjangkakan aliran trafik meningkat di lebuh raya utama dari ibu kota menghala keluar ke utara, timur dan selatan bermula pada 24 hingga 28 Januari 2025 sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 29 Januari ini. Foto LLM
LLM menjangkakan aliran trafik meningkat di lebuh raya utama dari ibu kota menghala keluar ke utara, timur dan selatan bermula pada 24 hingga 28 Januari 2025 sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 29 Januari ini. Foto LLM
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan aliran trafik meningkat di lebuh raya utama dari ibu kota menghala keluar ke utara, timur dan selatan bermula pada 24 hingga 28 Januari 2025 sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 29 Januari ini.

LLM dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, susulan peningkatan itu, sebanyak 2.6 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya utama sempena cuti perayaan tersebut.

“Daripada jumlah ini sebanyak 2.2 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya Utara Selatan, 198,000 di Lebuhraya KL-Karak, 82,000 di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, 48,000 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 dan 120,000 di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

“Aliran trafik kembali ke ibu kota pula akan menunjukkan peningkatan bermula pada 1 hingga 2 Februari 2025,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengatasi kesesakan sepanjang tempoh cuti perayaan, LLM memastikan tiada penutupan lorong oleh syarikat konsesi lebuh raya kecuali bagi kerja kecemasan bermula pada 23 Januari hingga 3 Februari 2025.

Katanya, LLM juga akan mengaktifkan laluan smart di 25 lokasi ‘hotspot’ kesesakan di Lebuhraya Utara Selatan.

“Pelaksanaan pengurusan trafik di plaza tol dan persimpangan bagi menambah baik aliran trafik seperti ‘traffic channelization atau segregation’, pengaktifan laluan 'tidal' serta penambahan kaunter bayaran tol menggunakan portable reader.

“Pelaksanaan tempoh larangan pemanduan kenderaan barangan pada 27 hingga 28 Januari dan 1 hingga 2 Februari pula dijangka sedikit sebanyak akan membantu kepada aliran trafik yang lebih baik di lebuh raya utama negara,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, LLM turut meningkatkan keselesaan pengguna lebuh raya seperti kerja membaik pulih dan menaik taraf kemudahan fasiliti di 38 buah kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah serta plaza tol telah disiapkan pada 2024.

Jelasnya, pelaksanaan inisiatif tersebut masih diteruskan pada 2025 dan terdapat fasiliti sementara telah disediakan bagi penggantian sementara kemudahan sedia ada yang ditutup.

“Pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menyediakan kira-kira 50 tandas sementara daripada jenis kabin yang lebih selesa berbanding tandas ‘portable’ konvensional di Lebuhraya Utara Selatan untuk menampung keperluan pengguna semasa musim perayaan ini.

“Justeru itu, pengguna dinasihatkan untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS. Sekiranya keadaan di lokasi sesak, pengguna digalakkan untuk meneruskan perjalanan dan singgah di kawasan rehat serta rawat, hentian sebelah, plaza tol seterusnya,” menurut kenyataan tersebut.

Untuk mengetahui status perjalanan, pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi MyPLUS-TTA oleh PLUS bagi perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan dan dengan waktu perjalanan (TTA) oleh AFA Prime Berhad bagi Lebuhraya KL-Karak serta Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.

“Pengguna boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik (TMC), LLM di talian 1-800-88-7752 hotline. Status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya juga boleh diperoleh menerusi laman Facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia, aplikasi X @llmtrafik serta di TikTok @llmtrafik.

“Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna juga boleh melayari laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my. Di samping itu, maklumat keadaan trafik masih boleh diperolehi daripada WhatsApp Channel LLM Info Trafik,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!