Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan akhir 6 lelaki bunuh Kevin Morais

Mahkamah Persekutuan pada Rabu menangguhkan keputusan terhadap rayuan akhir enam individu yang disabitkan atas kesalahan membunuh Kevin Morais.
Mahkamah Persekutuan pada Rabu menangguhkan keputusan terhadap rayuan akhir enam individu yang disabitkan atas kesalahan membunuh Kevin Morais.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Rabu menangguhkan keputusan terhadap rayuan akhir enam individu yang disabitkan atas kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, pihak mahkamah memerlukan masa untuk meneliti rayuan berkenaan dan akan menetapkan tarikh pengumuman keputusan pada masa akan datang.

Turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang.

Panel tersebut menyambung semula prosiding rayuan yang difailkan oleh bekas pakar patologi Kolonel Dr R. Kunaseegaran, 62; pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chandran, 54; serta empat penganggur iaitu R. Dinishwaran, 33; A.K. Thinesh Kumar, 32; M. Vishwanath, 35; dan S. Nimalan, 32.

Prosiding hari ini merupakan lanjutan daripada perbicaraan yang diadakan pada 13 Mac dan 23 April lalu.

Keenam-enam lelaki itu disabitkan bersalah atas pembunuhan Morais dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020. Mahkamah Rayuan kemudiannya menolak rayuan mereka pada 14 Mac tahun lalu dan mengekalkan sabitan serta hukuman tersebut. Mereka seterusnya membawa rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Mayat Morais, 55, ditemukan dalam sebuah tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September 2015.

Pembunuhan berlaku di lokasi sepanjang Jalan Dutamas Raya, Sentul dan No. 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi hingga 8 malam pada 4 September 2015.

Morais kali terakhir dilihat meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta, Kuala Lumpur dengan menaiki kereta Proton Perdana menuju ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim menggesa mahkamah menolak hujah peguam tertuduh keenam, S. Nimalan, yang mencadangkan agar prinsip ‘dua jenayah’ (dual crime principle) yang diamalkan di Singapura digunakan dalam kes ini.

Beliau berkata, prinsip yang diguna pakai dalam kes warga Singapura, Daniel Vijay Katherasan (2010) dan Azlin Bte Arjunah (2022), tidak boleh diterima pakai dalam sistem perundangan Malaysia.

Menurut Yusaini, penerimaan prinsip tersebut akan menyulitkan proses pembuktian jenayah yang dilakukan secara berkumpulan dan berpotensi membolehkan pesalah terlepas daripada hukuman.

Beliau turut menegaskan bahawa terdapat bukti forensik yang mengaitkan Nimalan dengan jenayah berkenaan, termasuk maklumat yang diberikannya kepada pihak berkuasa sehingga membawa kepada penemuan tong dram berisi mayat mangsa.

“Beg plastik yang ditemukan dalam kenderaan Mitsubishi Triton yang dipandu Nimalan mengandungi DNA mangsa, manakala sehelai baju-T pula mengandungi DNA Nimalan, Ravi Chandran dan si mati,” katanya.

“Berdasarkan semua keterangan yang dikemukakan, kami berhujah bahawa tertuduh keenam (Nimalan) jelas bertindak untuk meneruskan niat bersama dalam melakukan pembunuhan itu,” tambah beliau.

Sementara itu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Nimalan memohon mahkamah mempertimbangkan prinsip ‘dua jenayah’, dengan alasan bahawa perbincangan yang berlaku sehari sebelum kejadian hanya merujuk kepada penculikan, dan bukan pembunuhan.

Beliau berkata anak guamnya tidak seharusnya didakwa atas tuduhan membunuh, sebaliknya hanya wajar didakwa atas tuduhan menculik atau melupuskan bukti. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!