Sindiket tawar hadiah palsu menerusi Telegram tumpas

GEORGE TOWN - Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan hadiah palsu menerusi aplikasi Telegram.
Operasi khas yang dijalankan di sebuah kondominium di kawasan Alma, Bukit Mertajam pada Selasa itu membawa kepada penahanan enam individu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek yang ditahan adalah tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 18 hingga 28 tahun serta seorang lelaki dan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 23 hingga 38 tahun.
"Empat individu tempatan yang ditahan mengaku bekerja sebagai operator pusat panggilan sejak seminggu lalu dengan menerima gaji sebanyak RM2,600 sebulan.
“Hasil semakan terhadap pasport dua warga asing terbabit mendapati mereka memasuki negara ini pada 1 Mei lalu menggunakan pas lawatan sosial,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati sindiket tersebut menjalankan operasi penipuan dengan menawarkan hadiah palsu melalui aplikasi Telegram dan menyasarkan mangsa warganegara Malaysia.
"Sindiket ini menggunakan kumpulan yang dikenali sebagai 'Malay Telegroup 875' bagi mendapatkan maklumat mangsa. Operator akan menghubungi mangsa untuk menawarkan hadiah, kemudian meminta mereka mengesahkan butiran peribadi.
"Maklumat ini kemudiannya dihantar kepada pihak ketiga yang dipercayai dikendalikan seorang pentadbir Telegram yang beroperasi sekitar Kuala Lumpur,” ujarnya.

Menurut Hamzah, antara barang yang dirampas dalam serbuan tersebut termasuk empat unit monitor, lapan telefon bimbit pelbagai jenama, tiga modem WiFi, empat papan kekunci dan tetikus, satu kad akses, gulungan kabel internet, tiga meja lipat, empat kerusi pelbagai jenis serta empat 'headphone'.
"Kita turut merampas wang tunai RM5,000, kunci rumah serta empat keping resit pembelian," katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek direman tiga hari bermula 14 hingga 16 Mei bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta boleh dikenakan sebat dan denda," katanya.
Dalam pada itu, Hamzah turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan atau pesanan daripada individu tidak dikenali.
“Jangan melayan panggilan tersebut dan matikan talian serta-merta. Rujuk pihak berkuasa terdekat untuk pengesahan maklumat.
"Orang ramai juga dinasihati agar tidak berinteraksi dengan mana-mana pautan atau panggilan yang mencurigakan bagi mengelakkan kerugian wang dan harta benda," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

