DUN Pulau Pinang bertafakur kenang jasa Allahyarham Tun Abdullah

RAMLI
RAMLI
A
A
A

GEORGE TOWN – Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 pada Jumaat dimulakan dengan suasana sayu apabila seluruh Ahli Dewan bertafakur dan berdoa bagi mengenang pemergian bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Yang di-Pertua Pulau Pinang (TYT), Tun Ramli Ngah Talib meminta kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menzahirkan penghormatan terakhir dengan bertafakur dan berdoa mengikut pegangan agama masing-masing sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan besar Allahyarham kepada negara.

"Sebelum sidang ini melangkah ke wacana dan bicara yang lebih jauh, marilah kita bersama-sama mengambil sedikit ruang waktu untuk mengenang jasa serta sumbangan besar Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia yang telah kembali ke rahmatullah.

"Bagi yang beragama Islam, saya memohon sama-sama membaca surah Al-Fatihah. Bagi yang bukan beragama Islam, boleh lah bertafakur atau memanjatkan doa mengikut pegangan dan kepercayaan masing-masing.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman," katanya.

Ramli berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ramli juga menghargai usaha kerajaan negeri atas inisiatif menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia sebagai Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Langkah ini bukan sekadar satu simbol penghormatan, malah merupakan sebuah manifestasi penghargaan yang mendalam terhadap jasa dan kepimpinan Allahyarham dalam membina negara bangsa, khususnya dalam mendorong pembangunan strategik yang memberi manfaat besar kepada negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Semoga nama Allahyarham akan terus mekar dalam lipatan sejarah Pulau Pinang dan terpahat kukuh dalam sanubari rakyat yang sentiasa menghargai jasa dan budinya," ujarnya.

Allahyarham Tun Abdullah, 85, pernah menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas selama tiga dekad bermula dari tahun 1978 hingga 2008.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 April lalu dan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

Artikel Disyorkan