Lelaki hilang ditemui lemah selepas tergelincir

PUTATAN - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ditemui dalam keadaan lemah selepas tergelincir ketika melakukan kerja pembersihan di kawasan pencawang elektrik di Bukit Rimba, Lok Kawi di sini pada Rabu.
Mangsa, Aszaman Salleh, 48, ditemui selamat oleh rakannya yang turut serta dalam operasi pencarian bersama pasukan keselamatan di sekitar lokasi tersebut pada jam 9.56 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noorsherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada jam 6.31 petang, Selasa.
“Panggilan dibuat oleh pihak kontraktor yang memaklumkan terdapat seorang pekerjanya hilang selepas menjalankan kerja pembersihan di pencawang Sabah Electricity.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan sejak semalam dan diteruskan pada jam 6 pagi tadi oleh 10 anggota BBP Putatan dengan bantuan tujuh anggota BBP Papar,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Menurut beliau, operasi SAR turut dibantu oleh unit dron dan unit anjing pengesan (K9) serta agensi Sabah Electricity dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pencarian berakhir apabila mangsa ditemui pada jarak 265 meter dari lokasi kerja pembersihan dilakukan.
“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat namun lemah. Berdasarkan maklumat awal, mangsa memaklumkan bahawa beliau tergelincir semasa menjalankan kerja pembersihan sebelum terjatuh,” ujarnya.
Noorsherriyana berkata, usaha membawa mangsa turun dari kawasan bukit tersebut telah dilaksanakan sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.30 tengah hari.
“Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bomba sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
