Kanak-kanak enam tahun lemas tergelincir ketika memancing

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemukan lemas di kawasan anak sungai di Jalan Beris Lalang, Kampung Mujur, Bachok pada Isnin. - Foto JBPM
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemukan lemas di kawasan anak sungai di Jalan Beris Lalang, Kampung Mujur, Bachok pada Isnin. - Foto JBPM
A
A
A

BACHOK - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam tali air semasa memancing dengan abangnya di Kampung Mujur, Jelawat di sini pada Isnin.

Mangsa, Muhammad Bashir Mohd Raman dikatakan ke tali air yang terletak 500 meter dari rumah mereka bersama abangnya yang berusia 10 tahun kira-kira jam 9 pagi dengan menaiki basikal.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, setiba di lokasi mangsa dipercayai telah turun ke tebing tali air untuk memancing bersama abangnya.

"Tidak lama kemudian abang mangsa telah melihat adiknya tergelincir ke dalam tali air dan cuba membantu namun gagal.

"Dia (abang mangsa) pulang ke rumah untuk memberitahu ibu mereka berhubung kejadian tersebut," katanya kepada pemberita ketika dihubungi.

Menurut beliau, mangsa berjaya ditemukan pada jam kira-kira 1 petang di lokasi dia dipercayai terjatuh.

Ujarnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar USM Kubang Kerian untuk bedah siasat.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Abdul Rashid Adb Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.02 pagi.

"Seramai 12 anggota dari tiga balai iaitu Bachok dan pasukan penyelamat di air (PPDA) Pengakalan Chepa serta Machang telah ke lokasi untuk tujuan SAR," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya tiba di lokasi yang terletak 13 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok pada jam 11.21 pagi.

Ujarnya, bomba menggunakan kaedah SAR dan carian di permukaan untuk mengesan mangsa sebelum ditemukan kira-kira jam 1 tengah hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!