Lelaki maut motosikal hilang kawalan, jatuh tengah jalan

ISKANDAR PUTERI - Gara-gara hilang kawalan, seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di kilometer (KM) 5, Jalan Kampung Ulu Pulai arah ke Gelang Patah, pada Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 9.45 pagi melibatkan motosikal jenis Yamaha Y-15 dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier.
"Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah Kampung Ulu Pulai menuju ke Gelang Patah telah hilang kawalan dan menyebabkannya terjatuh di tengah jalan.
"Motosikal yang ditunggang mangsa pula terbabas ke jalan bertentangan hingga melanggar SUV jenis Toyota Harrier.
"Akibat perlanggaran itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kerana cedera parah di bahagian kepala sementara pemandu SUV tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Siasatan lanjut masih diteruskan dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini boleh menyalurkan maklumat kepada Pejabat pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD), Iskandar Puteri di talian 07- 5101322.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!