[VIDEO] Lima sekawan tak mengaku cederakan pelajar Tingkatan Lima

A
A
A

SEREMBAN - Lima sekawan termasuk dua remaja lelaki bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas dua pertuduhan menyebabkan cedera parah ke atas seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun seperti yang tular awal bulan ini.

Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan.

Tertuduh, Shazrin Shah Mohd Norazham, 19, Nur Ariq Farhan Ismail, 21, Nur Ezwan Ezanie Rohaizad, 24 dan dua pesalah bawah umur masing-masing berusia 17 tahun.

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh bersama-sama yang masih bebas dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas seorang mangsa lelaki berusia 17 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di Gelanggang Futsal Kampung Sentosa Jaya di Seremban jam lebih kurang 11 malam pada 8 Mei lalu.

Sehubungan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah didenda.

Tertuduh diiring polis ketika hadir ke mahkamah.
Tertuduh diiring polis ketika hadir ke mahkamah.

Bagi pertuduhan kedua, di lokasi dan masa sama, mereka dengan yang masih bebas berhimpun secara berkumpulan menggunakan kekerasan atau keganasan dengan mendatangkan cedera pada mangsa sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pada prosiding yang berlangsung, peguam Datuk Hanif Hassan dan Muhammad Wajih Zakwan hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak mangsa.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini menawarkan jaminan RM7,000 bagi pertuduhan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan manakala bagi pertuduhan Seksyen 147 Kanun Keseksaan jaminan RM6,000 ditawarkan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Razqeeyanur Sarini Salzali yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan rendah mengambil kira pendapatan dan latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.

Tertuduh diiring polis ketika hadir ke mahkamah.
Tertuduh diiring polis ketika hadir ke mahkamah.

Razqeeyanur berkata, Shazrin Shah bekerja sebagai jurukimpal dengan pendapatan RM1,000, Nur Ariq Farhan pula bekerja kilang dengan pendapatan RM1,500 manakala Nur Ezwan Ezanie merupakan penyambut tetamu dengan pendapatan RM1,000.

Beliau berkata, dua lagi pesalah muda akan dijamin oleh ibu masing-masing yang bekerja sebagai pekerja kedai makan dan tukang cuci.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Jun depan bagi laporan perubatan, serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sebelum ini media melaporkan, kejadian itu tular di media sosial selepas mangsa seorang remaja berusia 17 mengalami cedera di bahagian muka akibat dipukul secara beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki.

Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada selisih faham antara mangsa dengan salah seorang suspek yang menyangka mangsa telah mencederakan adiknya.

Susulan kejadian itu, polis menahan 10 lelaki termasuk remaja berusia 17 tahun bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!