Kedai karpet 'markas' palsu dokumen PLKS, jual RM50 sekeping

Zakaria (dua dari kiri) menunjukkan dokumen yang dirampas Imigresen dalam serbuan di dua premis di Kuala Lumpur. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Zakaria (dua dari kiri) menunjukkan dokumen yang dirampas Imigresen dalam serbuan di dua premis di Kuala Lumpur. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PUTRAJAYA - Kegiatan pemalsuan dan penjualan e-Pas Lawatan Kerja Sementara (e-PLKS) dengan harga RM50 sekeping yang dilakukan warga asing dibongkar menerusi serbuan di dua premis di ibu negara pada Selasa.

Operasi khas bermula jam 9.30 pagi itu dijalankan sepasukan Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama tiga minggu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pertama di premis kedai menjual karpet di Jalan Tun Tan Siew Sin berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun.

Zakaria (tengah) dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada Rabu. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Zakaria (tengah) dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada Rabu. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Menurutnya, ketika ditahan, suspek sedang memproses e-PLKS palsu menggunakan sebuah komputer peribadi.

"Kita turut menemui beberapa keping e-PLKS palsu yang telah dicetak dan beberapa naskah pasport asing.

"Modus operandi suspek ialah menawarkan e-PLKS kepada pelanggan dengan bayaran RM50 sekeping. Suspek juga turut membuat pemalsuan salinan dokumen pendaftaran dan surat berkaitan perniagaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya di sini pada Rabu.

Tambahnya, dipercayai suspek telah aktif hampir enam bulan hingga mengaut untung sekitar RM45,000 hingga RM50,000.

Dalam serbuan kedua di sebuah premis di Jalan Masjid India, kata Zakaria, tiga lelaki warga India berusia 39 hingga 64 tahun disyaki merupakan ejen haram pemalsuan e-PLKS diberkas.

Artikel Berkaitan:

Zakaria (dua dari kanan) menunjukkan komputer yang digunakan suspek untuk memalsukan dokumen e-PLKS. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Zakaria (dua dari kanan) menunjukkan komputer yang digunakan suspek untuk memalsukan dokumen e-PLKS. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Hasil kedua-dua serbuan ini, kita telah merampas 504 naskah pasport asing pelbagai negara seperti India, Indonesia, Pakistan, Sri Lanka dan Nepal selain empat komputer peribadi, mesin pencetak (4 unit), kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) (23 keping), i-Kad (40 keping) dan wang tunai RM94,332," ujarnya.

Katanya lagi, siasatan awal mendapati dua serbuan terbabit melibatkan kumpulan berlainan dan tidak tolak kemungkinan ada lagi rangkaian mereka.

"Kita percaya pelanggan-pelanggan sindiket ini terdiri daripada warga asing yang mempunyai masalah tinggal lebih masa dan tiada pas sah. Oleh itu, mereka memerlukan dokumen untuk tinggal di Malaysia dan mengambil jalan mudah memalsukan dokumen," katanya.

Tegasnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!