Aksi keterlaluan atas kenderaan bergerak, dua warga asing ditahan

Tangkap layar sebuah video tular menyaksikan lelaki warga asing melakukan aksi melampau dengan memanjat bumbung kenderaan yang sedang bergerak di atas jalan raya.
Tangkap layar sebuah video tular menyaksikan lelaki warga asing melakukan aksi melampau dengan memanjat bumbung kenderaan yang sedang bergerak di atas jalan raya.
A
A
A

SEPANG – [DIKEMAS KINI] Aksi keterlaluan dua lelaki warga asing yang memanjat bumbung sebuah kereta yang sedang bergerak di lebuh raya membawa padah apabila kedua-duanya berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya mengesan satu video tular di media sosial pada Khamis yang memaparkan tindakan berisiko dua individu di atas Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

Susulan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang bertindak segera mengesan dan menahan kedua-dua suspek.

“Hasil siasatan awal mendapati mereka merupakan penumpang kenderaan berkenaan, manakala pemandu tidak terlibat dalam aksi tersebut.

“Individu pertama yang duduk di tempat duduk hadapan bertindak keluar melalui tingkap dan memanjat bumbung semasa kenderaan bergerak, sebelum masuk semula ke dalam kereta melalui tingkap sama.

“Beberapa minit kemudian, individu kedua yang duduk di bahagian belakang bertukar tempat dengan individu pertama dan mengulangi aksi sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Norhizam, kedua-dua lelaki itu dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menghantar pemandu kenderaan yang difahamkan akan pulang ke Tajikistan.

Beliau menegaskan bahawa tindakan tersebut adalah satu kesalahan serius yang boleh membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian ini diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang atau talian rasmi IPD Sepang.

“Pihak polis ingin menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mengutamakan keselamatan dan tidak melakukan sebarang tindakan berbahaya yang boleh mengancam nyawa,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!