MyTOWN perkukuh penglibatan komuniti, pendidikan

SHAH ALAM - MyTOWN Shopping Centre akan terus memperkukuh usaha terhadap penglibatan komuniti dan pendidikan dengan mengalu-alukan kehadiran Kampus Ideas International yang semakin berkembang pesat.
Melalui kerjasama tersebut, MyTOWN memperkukuh visinya untuk menjadi lebih daripada sekadar destinasi membeli-belah tetapi juga sebagai ruang dinamik untuk pendidikan dan pembangunan peribadi.
Ketua Operasi Kampus Ideas International, Stephanie Van Aken berkata, pembukaan kampus baharu itu pada 6 Mac lalu menunjukkan pencapaian penting dalam memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti bagi belia pelarian tanpa kerakyatan.
“Terletak bersebelahan salah satu pusat komersial paling meriah di Kuala Lumpur, kampus baharu ini melambangkan harapan, kreativiti dan ketahanan.
“Pelajar kami kini mempunyai akses kepada ruang yang bukan sahaja menyokong pertumbuhan akademik mereka, tetapi juga memberi inspirasi untuk mereka berani bermimpi lebih besar.
"Kami berterima kasih menjadi sebahagian daripada komuniti yang memperjuangkan keterangkuman dan peluang,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Sementara itu, menurut Pengurus Besar MyTOWN Shopping Centre, Azhan Che Mat, kerjasama tersebut menandakan langkah penting dalam memperkukuh peranan mereka sebagai hab komuniti untuk perubahan positif bagi menyatukan pendidikan, budaya dan masyarakat.

Tambahnya, inisiatif jangka panjang Ikano Retails itu juga memupuk keterangkuman dan peluang dalam menyantuni komuniti setempat.
“Di MyTOWN, kami membayangkan satu ruang yang bukan hanya sekadar tempat membeli-belah. Ia adalah tempat di mana masyarakat boleh berhubung, belajar dan berkembang bersama.
“Dengan mengalu-alukan pembukaan Kampus Ideas International ke dalam komuniti kami, kami berbangga menjadi tempat yang memupuk pembelajaran dan rasa memiliki untuk semua orang, tanpa mengira latar belakang mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!