Muzik rap Malaysia semakin berkembang - Alyph

Alyph menyifatkan gelombang muzik rap Malaysia sebagai satu fenomena yang positif.
Alyph menyifatkan gelombang muzik rap Malaysia sebagai satu fenomena yang positif.
A
A
A

MUZIK rap Malaysia kini sedang berkembang dengan kehadiran artis-artis berbakat yang semakin berani menonjolkan identiti sendiri.

Penyanyi dan komposer, Alyph menyifatkan gelombang itu sebagai satu fenomena yang positif namun perlu disertakan dengan komuniti lebih luas bagi memastikan kesinambungan genre tersebut dalam industri.

Alyph atau nama sebenarnya Muhammad Alif Abdullah, 35, berkata, kemunculan artis rap sama ada yang bernaung di bawah label atau secara bebas, berjaya mengukuhkan pengaruh mereka menerusi kelompok peminat tersendiri.

“Kita ada ramai artis yang terikat (di bawah label) atau bebas yang sedang mengumpul kumpulan peminat mereka sendiri seperti 53 Universe, MeerFly dan Selatan. Mereka lakukan dengan jaya.

“Komuniti sangat penting dalam muzik rap. Kalau kita terus tembus arus perdana tanpa asas komuniti kuat, kita mungkin perlu adaptasi pendekatan yang lebih konvensional untuk memastikan kelangsungan dalam industri," katanya selepas mengadakan persembahan khas bagi mempromosikan album sulungnya The Storm di sebuah pusat beli-belah baru-baru ini.

Popular menerusi lagu Swipe, Alyph menegaskan beliau berkarya demi menghasilkan muzik yang jujur dan berkualiti, bukan mengejar tular.

“Saya rasa kalau seseorang itu terlalu mengejar tular, ia menunjukkan pemikiran yang agak cetek sebagai seorang artis.

“Tular itu bukan dalam kawalan kita, sebaliknya bergantung kepada bagaimana pendengar menerima muzik dan kandungan yang kita hasilkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, anak seni kelahiran Singapura itu bersyukur kerana The Storm mendapat reaksi positif daripada peminat sejak dilancarkan seminggu lalu.

“Jika ada yang ingin mengenali saya dengan lebih mendalam, album ini adalah jawapannya kerana ia mencerminkan DNA muzik saya,” katanya.

Album itu yang memuatkan 12 lagu, antaranya Dari Jauh, Red Flags, Saham Naik dan Mekar turut menampilkan kolaborasi Alyph bersama Ziana Zain menerusi dua lagu iaitu Teman dan Gerak.

“Saya bertuah dapat bekerjasama dengan Kak Gee (panggilan untuk Ziana). Lagu itu khas untuknya, jika beliau tidak mahu terbabit, saya mungkin tidak akan keluarkan lagu itu langsung,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!