Jenazah Konstabel Ahmad Wafi dikebumikan di Lunas

KULIM – Jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Allahyarham Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tunku Abdul Rahman Putra (B) di sini pada jam 11 pagi, Rabu.
Sebelum itu, jenazah tiba di kediaman keluarga di Taman Pegaga, Lunas, pada jam 6.30 pagi dari Markas FRU Unit 5, Sungai Senam, Ipoh, Perak.
Jenazah Akmal Wafi kemudian dibawa ke Masjid Tunku Abdul Rahman Putra kira-kira jam 10 pagi untuk solat jenazah yang diimamkan oleh Shahril Adzhar Abu Samah.
Solat jenazah diiringi kira-kira 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan yang turut mengiringi ke tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir.
Jenazah Allahyarham Akmal Wafi diiringi dan diusung oleh pasukan pengusung FRU yang menguruskan proses pengebumian dengan lancar.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Zulkifli Azizan, kemudiannya menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham, Annuar Yusof, 55, yang turut hadir mengiringi pengebumian anaknya.
Akmal Wafi merupakan antara sembilan anggota FRU yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Chikus–Sungai Lampam akibat bertembung dengan sebuah lori muatan batu pada kira-kira jam 8.50 pagi, Selasa.
Kemalangan turut mengakibatkan sembilan lagi anggota FRU cedera dan kini sedang dirawat di Hospital Teluk Intan.
Difahamkan, kenderaan FRU yang membawa anggota berusia antara 28 hingga 46 tahun itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugasan di bawah Op Chariot di Teluk Intan, Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

