Bekas Timbalan Ketua Menteri II akan didakwa di mahkamah esok - Peguam

BUTTERWORTH - Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini pada Rabu berikutan tuduhan salah guna kuasa.
Peguamanya, Shamsher Singh Thind berkata, anak guamnya itu akan dibawa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Sesyen di Butterworth untuk menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
“SPRM tidak mendedahkan butiran pertuduhan esok,” katanya ringkas.
Pertuduhan di bawah seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Difahamkan, pertuduhan itu dipercayai ada kaitan dengan Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), yang pernah diterajuinya sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
