Kelantan penyumbang utama hufaz al-Quran

Sehingga tahun lalu seramai 5,370 hufaz membabitkan 3,573 hafiz dan 1,797 hafizah dilahirkan melalui institusi pendidikan di bawah Yayasan Islam Kelantan. - Gambar hiasan
Sehingga tahun lalu seramai 5,370 hufaz membabitkan 3,573 hafiz dan 1,797 hafizah dilahirkan melalui institusi pendidikan di bawah Yayasan Islam Kelantan. - Gambar hiasan
A
A
A

SESIAPA sahaja pasti bangga apabila anak mereka mampu 'menyimpan' 30 juzuk al-Quran di dada dan sudah pasti mereka antara yang mampu bersaing untuk menjadi seorang profesional hebat pada masa depan.

Melalui Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan Kali Ke-15 Tahun 2024 minggu lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, sehingga tahun lalu seramai 5,370 hufaz membabitkan 3,573 hafiz dan 1,797 hafizah dilahirkan melalui institusi pendidikan di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Menurut Mohd Nassuruddin, Kelantan antara penyumbang utama di negara ini yang melahirkan lebih ramai profesional termasuk doktor, jurutera dan ahli ekonomi yang menghafaz al-Quran.

Lupakan seketika statistik bahawa Kelantan sebagai negeri yang mencatatkan kadar penyalahgunaan dadah tertinggi di Malaysia pada kadar 1,130 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Hari ini kita bercerita mengenai kesungguhan pemilik sekolah tahfiz berusaha mendidik pelajar sehingga berjaya menghafaz al-Quran.

Sebenarnya, al-Quran menjadi solusi kepada permasalahan yang berlaku sekali gus dapat membimbing dan mengangkat martabat umat Islam.

Bagaimanapun, membaca al-Quran sahaja bukan jalan penyelesaian kerana perlu mengikut kaedah yang ditulis di dalamnya selain kerjasama semua pihak.

Sebenarnya kita mampu menyelesaikan masalah sosial yang kini menjadi 'musuh' utama dan menular dalam kalangan golongan muda hari ini jika benar-benar berpegang kepada kalam ALLAH SWT itu.

Artikel Berkaitan:

Mungkin ada yang mengatakan masih tidak ramai hufaz di Kelantan tetapi statistik dikongsikan Menteri Besar Kelantan baru-baru ini menunjukkan kualiti sebenar anak muda negeri ini yang berjaya dilahirkan.

Kesempatan melawat beberapa pusat tahfiz persendirian di Kota Bharu, penulis melihat ramai kanak-kanak terutama yang berusia di antara tujuh hingga lapan tahun duduk di hadapan al-Quran dan ada juga ketika lawatan, kanak-kanak ini sedang bersedia solat berjemaah.

Ketika itu, terfikir bagaimana kanak-kanak itu 'dilepaskan' oleh ibu bapa dan berusaha keras berdikari sendiri di asrama.

Sejenak terasa luluh hati bagaimana mereka mahu melipat pakaian sendiri, mengemas dan makan tanpa ibu bapa di sisi.

Bagaimanapun, sangat lega dan bersyukur apabila penerangan yang diberikan oleh ustaz yang juga pemilik pusat tahfiz menggambarkan pendidikan terbaik Islam selain reda ibu bapa.

Kata ustaz itu, biasanya ibu bapa pelajar yang dihantar ke pusat tahfiz memang mahu anak-anak mereka mengenal Islam sebelum meneruskan pendidikan lain.

“Ustaz nak bagi tahu, apabila sudah ada 30 juzuk 'di dada', semua perkara yang dihafal termasuk akademik semuanya akan menjadi mudah sahaja. Sebab itu ramai menjadi ahli akademik terbaik. Insya-ALLAH,” kata ustaz itu yang setiap hari memberi semangat untuk anak-anak tahfiznya berjaya.

Melihat sendiri betapa anak-anak itu penuh disiplin dengan raut wajah bersih, penulis percaya mereka kini bukan sahaja gembira berdikari malah boleh memulakan hafazan dengan ikhlas.

Semua hasil yang dilihat merupakan kesungguhan ibu bapa yang mungkin pada mulanya tidak sanggup membiarkan anak-anak sendirian bersama individu yang tidak dikenali.

Mereka sanggup berkorban menghantar anak-anak ke asrama dan tanpa kesungguhan itu anak-anak tidak akan mampu menjadi hafiz dan hafizah sekali gus sebagai aset yang cukup berharga di akhirat.

Kita berharap dapat melihat lebih ramai penghafaz al-Quran di negeri ini yang mungkin boleh menutup keburukan yang dilemparkan terhadap Kelantan.

Penulis berharap juga negeri lain di Malaysia dapat melahirkan lebih ramai hufaz terutamanya dari golongan muda sekali gus mengangkat martabat umat Islam yang kini semakin menipis nilai akhlak dan jati dirinya.

Aswany Omar ialah Wartawan Sinar Harian Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!