Vape ganti sarapan pelajar, CAP dakwa usia seawal lapan tahun terlibat

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Persekutuan dan pentadbiran negeri mengambil tindakan tegas bagi mengharamkan penjualan vape dan rokok elektronik demi melindungi nyawa kanak-kanak dan pelajar sekolah daripada ancaman bahan berbahaya itu.
Pegawai Pendidikan Kanan CAP, NV Subbarow berkata, penggunaan vape dan rokok elektronik dalam kalangan pelajar termasuk seawal usia lapan tahun kini amat membimbangkan, malah menimbulkan pelbagai kesan sosial serta kesihatan yang serius.
Menurut beliau, pihaknya menerima aduan terdapat pelajar yang menghisap vape sebelum memasuki bilik darjah, malah menjadikan cecair vape sebagai pengganti sarapan pagi.
“Lebih mengejutkan, ada pelajar yang menghisap vape di surau, menunjukkan betapa seriusnya isu ini.
"Walaupun larangan penggunaan vape di sekolah telah dikuatkuasakan, pelajar tetap bijak menyeludupnya ke dalam kawasan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau berkata, CAP merayu kepada pihak berkuasa berkaitan seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar mengambil tindakan lebih tegas dalam menangani masalah ini di peringkat pelajar dan mahasiswa.
“Tindakan menyeluruh perlu diambil segera. Ini bukan lagi isu terpencil tetapi ancaman nasional.
"Jika kita terus bersikap sambil lewa dan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada kerajaan negeri, kita bakal berdepan krisis yang lebih besar dan sukar dikawal,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan rasa kecewa terhadap beberapa negeri yang masih tidak mengharamkan penjualan vape dan rokok elektronik, walaupun titah dan peringatan telah dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi negara.
“Sekali tersilap hisap, mungkin tak sempat kembali. Jadi jangan biarkan keadaan ini terus berlarutan. Setiap nyawa begitu berharga dan perlu dilindungi.
"CAP berharap kerajaan segera mengambil langkah drastik mengharamkan vape dan e-rokok sepenuhnya demi menyelamatkan generasi akan datang," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan tindakan sekumpulan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Batu Caves, Selangor menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat
Berdasarkan video tular di Facebook sejak Rabu lalu, pelajar yang lengkap berbaju sekolah dengan bersahaja menghisap rokok elektrik atau vape.
Mereka juga dilihat berkongsi vape antara satu sama lain tanpa dihalang oleh orang dewasa.
Sehubungan itu, pihak sekolah terlibat akan mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya terhadap pelajar terlibat mengikut garis panduan telah ditetapkan.
Pihak sekolah juga memberitahu akan mempertingkat pemantauan dan menjalankan program kesedaran bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

