Sekolah berpotensi jadi hab kandungan visual pendidikan

Ahamad Tarmizi  (kanan) menyampaikan cenderahati kepada fasilitator. - FOTO SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Ahamad Tarmizi (kanan) menyampaikan cenderahati kepada fasilitator. - FOTO SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Sekolah berpotensi menjadi hab kandungan visual pendidikan sekiranya guru dan pelajar diberi latihan dan ruang untuk menghasilkan bahan digital secara berterusan.

Pengarah Creative Accelerator Centre (CAC), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Madya Ahamad Tarmizi Azizan, berkata pihaknya melihat usaha menghasilkan video pendek pendidikan mampu melahirkan generasi pengkarya muda yang bijak menyampaikan ilmu dalam bentuk visual kreatif.

“Kalau diberi sokongan berterusan, setiap sekolah boleh jadi ‘studio pendidikan’ yang menyumbang kepada koleksi video pembelajaran tempatan. Bayangkan, guru menghasilkan satu video seminggu atau sebulan, kemudian pelajar mengambil alih dan terus kembangkan, itu sudah jadi legasi ilmu visual yang kekal lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bengkel Produksi Filem Pendek Kelantan 2025, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, di SSTP Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.

Turut hadir merasmikan bengkel itu ialah Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Ahamad Tarmizi yang juga Persatuan Pendidik Animasi Malaysia berkata, pendekatan sedemikian sedang dirintis menerusi kerjasama CAC-UMK dan JPN Kelantan dengan pembabitan 131 guru dalam bengkel itu.

Katanya, CAC memberi fokus kepada latihan penggunaan aplikasi suntingan, kecerdasan buatan (AI) terkawal, dan teknik menyusun naratif yang mudah difahami dalam tempoh singkat.

“Bukan semua perlu jadi pelakon, sebaliknya kita ajar mereka jadi pengarah dan penyusun idea, sebab dalam dunia digital hari ini, penyampai itu tidak semestinya muncul di depan kamera. Lebih penting, guru dan pelajar dapat berkongsi nilai, cerita dan ilmu dalam bentuk ringkas tapi berkesan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kandungan video pendek lebih mudah diterima golongan remaja dan boleh menjadi pendekatan alternatif dalam sistem pembelajaran digital jika dibangunkan secara konsisten.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!