X

Kindly register in order to view this article
!

Derita 11 tahun tiub dalam perut berakhir

Hasnah ketika menerima kunjungan Razak(tengah) sambil diperhatikan Masngot.
A
A

JENGKA - Misteri kesakitan yang ditanggung isteri seorang peneroka, Hasnah Mamat, 59, kira-kira 11 tahun lalu terjawab selepas pembedahan membuang tiub di bahagian perutnya.

Hasnah dari Felda Jengka 24 sebelum ini mengakui sentiasa mengalami demam, sakit di bahagian kepala dan perut.

Bagaimanapun, dia menyangka keadaan itu adalah simptom penyakit kanser pangkal rahim yang pernah dialaminya kerana pernah melakukan pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada 2009 akibat penyakit itu.

Kesakitan itu juga menyebabkan wanita itu beberapa kali mendapatkan rawatan doktor selain berusaha mencuba kaedah tradisional bagi mengurangkan penderitaannya.

Suaminya, Masngot Kusnon, 67 memberitahu, Hasnah pernah terlantar di rumah selama enam bulan kerana mengalami sakit.

"Saya tidak mampu melihat penderitaan isteri dan memujuknya berjumpa doktor. Dia sebenarnya serik kerana pihak hospital juga tidak tahu punca sebenar penyakitnya," katanya selepas pemeriksaan di sebuah klinik.

Menurut Masngot, pada Disember lalu Hasnah pemeriksaan x-ray dan mendapati terdapat satu tiub di dalam perut.

"Doktor memberi surat rujukan dan isteri saya selamat menjalani pembedahan membuang tiub terbabit di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) pada 21 Januari lalu," katanya.

Masngot mendakwa, doktor mengesahkan tiub tersebut dimasukkan ketika pembedahan pada 2009 yang berfungsi sebagai saluran air kencing dari buah pinggang terus ke pundi kencing.

"Kami tidak mengetahui atau dimaklumkan alat berkenaan dipasang semasa pembedahan terdahulu dan pada mulanya menyangka alat berkenaan tertinggal berada dalam perut isteri setelah melihat x-ray," katanya.

Menurutnya, selepas itu buah pinggang isterinya membengkak dan memerlukan rawatan susulan.

Peneroka itu juga mengadu berdepan masalah kewangan kerana pendapatan semakin merosot dan bingung memikirkan kos yang perlu ditanggung untuk rawatan susulan isteri.

"Anak-anak juga kurang berkemampuan dan salah seorang anak pun sudah berkorban berhenti kerja untuk menjaga isteri saya sejak dua tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud memberitahu pihaknya akan cuba membantu sebaik mungkin keluarga tersebut untuk meringankan beban yang ditanggung.

Bagi mereka yang ingin mengurangkan beban keluarga ini,boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN),0630029000035251 atas nama Masngot Bin Kusnon.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!