Pengorbanan anggota FRU lambang keberanian dan kesetiaan kepada negara - PN Perak

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) Perak menyifatkan pemergian anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam insiden kemalangan maut di Teluk Intan, suatu pengorbanan tidak ternilai dan akan terus dikenang sebagai lambang keberanian serta setia kepada negara.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mangsa terkorban bukan sekadar anggota pasukan keselamatan tetapi insan yang telah menyerahkan jiwa, raga demi amanah tugas dan keselamatan negara.
"PN Perak menzahirkan rasa sedih dan dukacita yang tidak terhingga atas tragedi kemalangan jalan raya yang berlaku di Kilometer 15, Jalan Sungai Lampam - Chikus,yang telah meragut sembilan nyawa anggota FRU dan mencederakan beberapa yang lain.
"Kami turut mendoakan agar semua mangsa tercedera diberikan kesembuhan segera dan keluarga yang kehilangan insan tersayang diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini. Semoga roh wira-wira negara ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu 10 anggota FRU dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan batu dan sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota termasuk pemandu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak.
Difahamkan kesemua mereka dalam perjalanan balik ke Ipoh selepas tugasan kawalan perarakan sempena sambutan Hari Wesak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!