Pasang bonggol di lokasi lintasan hidupan liar - WWF-Malaysia

SHAH ALAM – Pemasangan bonggol jalan di lokasi penyeberangan utama hidupan liar berpotensi menjadi strategi yang lebih berkesan dalam memperlahankan kelajuan kenderaan serta mengurangkan kemalangan melibatkan haiwan liar.
World Wide Fund For Nature Malaysia (WWF-Malaysia) berkata, langkah tersebut bukan sahaja dapat melindungi hidupan liar, malah turut meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut kenyataan WWF-Malaysia pada Isnin, walaupun papan tanda amaran yang sedia ada memainkan peranan sebagai peringatan kepada pemandu, keberkesanannya dilihat tidak mencukupi.
“Kenderaan yang dipandu laju masih terus mengancam dan meragut nyawa spesies seperti gajah, harimau serta hidupan liar lain. Sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan mewujudkan halangan yang lebih berkesan seperti bonggol jalan.
“Pihak pemuliharaan dan orang ramai telah lama menyeru agar tindakan lebih tegas diambil, termasuk penguatkuasaan had laju, pencahayaan yang lebih baik, dan yang paling kritikal, pembinaan lintasan hidupan liar bagi mengurangkan kemalangan maut melibatkan spesies terancam,” katanya.
Sebelum ini, seekor anak gajah mati dilanggar sebuah lori dalam kejadian menyayat hati di Kilometer 80, Lebuhraya Timur–Barat (JRTB) Gerik–Jeli, awal pagi Ahad, apabila haiwan itu keluar secara tiba-tiba dari kawasan hutan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat berhenti dan melanggar anak gajah tersebut yang mati di tempat kejadian.
Menurut WWF-Malaysia, pihaknya secara konsisten menekankan keperluan mendesak untuk mewujudkan lintasan khas hidupan liar serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemandu, khususnya di sepanjang Lebuhraya Timur–Barat Gerik–Jeli.
Jelasnya, lebuh raya tersebut merentasi habitat kritikal seperti Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temengor, sekali gus menjadikan laluan itu sebagai titik pertembungan berisiko tinggi antara pembangunan manusia dan laluan semula jadi hidupan liar.
“Insiden tragis pada tahun 2024 menyaksikan seekor harimau maut akibat dilanggar di lebuh raya ini, menjadi peringatan tentang ancaman sebenar pembangunan terhadap spesies terancam.
“Sejak 2023, sebanyak enam ekor harimau telah terkorban akibat kemalangan jalan raya di Malaysia, termasuk dua kes dalam tempoh hanya dua bulan di sepanjang laluan ini,” katanya.
Menurutnya, statistik yang membimbangkan itu seharusnya menjadi panggilan jelas untuk tindakan segera.
Tambah kenyataan itu, walaupun inisiatif kerajaan seperti peruntukan RM200 juta bagi usaha pemuliharaan, kajian pembinaan lintasan hidupan liar, dan sistem amaran amat dialu-alukan, masa semakin suntuk dan kegagalan bertindak segera mungkin akan menyebabkan lebih banyak nyawa hidupan liar terkorban.
“Kami menggesa semua pengguna Lebuhraya Gerik–Jeli agar sentiasa berwaspada dan memandu dengan penuh tanggungjawab. Sikap berhati-hati mampu mengelakkan tragedi yang tidak seharusnya berlaku.
“Gajah adalah makhluk yang mengingati, yang merasai kehilangan, dan yang berduka. Janganlah kita sebagai manusia melupakan hakikat itu. Pandulah dengan penuh empati dan kesedaran bahawa setiap nyawa di jalan ini amat berharga,” katanya.
Dalam masa sama, WWF-Malaysia turut memuji usaha berterusan Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, khususnya dalam pembangunan Perak Elephant Sanctuary yang dijangka siap menjelang tahun 2029.
Jelasnya, tempat perlindungan tersebut bukan sahaja akan menyediakan habitat yang lebih selamat dan terkawal untuk populasi gajah, malah dijangka memainkan peranan penting dalam mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar.
“Namun begitu, inisiatif jangka panjang seperti ini perlu disokong dengan tindakan segera dan konkrit di lapangan agar kesan positifnya dapat dirasai dalam masa terdekat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!