Baru hendak makan, nampak api marak dari dapur

Keadaan premis Jeo Warung Mee Calong, Beserah selepas terbakar pada petang Isnin. Foto Sinar Harian (Gambar kecil: Asiah, Muhammad Haikal Hakimi)
Keadaan premis Jeo Warung Mee Calong, Beserah selepas terbakar pada petang Isnin. Foto Sinar Harian (Gambar kecil: Asiah, Muhammad Haikal Hakimi)
A
A
A

KUANTAN – Rutin harian seorang tukang masak bertukar cemas apabila premis tempatnya mencari rezeki musnah dalam kebakaran di Jeo Warung Mee Calong, Beserah di sini, kira-kira pukul 4.20 petang, Isnin.

Asiah Abdullah, 44, berkata, ketika kejadian, dia berada di meja hadapan bersama beberapa pelanggan yang sedang menikmati hidangan petang.

Menurutnya, api besar secara tiba-tiba menyambar dari arah dapur menyebabkan semua yang berada dalam kedai panik dan segera menyelamatkan diri.

Kelihatan pekerja Jeo Mee Calong berada di ruang dapur kedai yang terbakar. Foto Sinar Harian.
Kelihatan pekerja Jeo Mee Calong berada di ruang dapur kedai yang terbakar. Foto Sinar Harian.

“Masa itu saya duduk hendak makan nasi, tiba-tiba nampak api besar dari dapur dan terus lari keluar.

“Saya nampak lima hingga enam meja yang dihuni pelanggan pada waktu itu, semuanya bangun dan berlari keluar. Nasib baik tiada siapa yang cedera,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, Isnin.

Asiah berkata, api merebak terlalu pantas dan semua peralatan termasuk barangan dapur, telefon bimbit dan wang tunai musnah dalam kebakaran tersebut.

“Kami memang tidak sempat capai apa-apa kerana ia berlaku begitu pantas. Masa itu kami hanya fikir nak selamatkan diri sahaja. Kalau ikutkan, kerugian mungkin mencecah ratusan ribu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dia memaklumkan kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas semasa seorang pekerja menukar tong baharu.

“Waktu itu belum mula masak lagi, tapi gas keluar dari tong baharu terlalu kuat, terus api menyambar,” katanya lagi.

Meskipun sedih dengan kejadian itu, Asiah mengakui reda dan menganggap ia sebagai ujian.

“Saya terima dengan hati terbuka, mungkin ada hikmah di sebaliknya,” katanya dengan nada sebak.

Keadaan Jeo Warung Mee Calong yang terbakar.
Keadaan Jeo Warung Mee Calong yang terbakar.

Seorang lagi pekerja, Muhammad Haikal Hakimi Adenan, 23, menyedari kebakaran selepas mendengar bunyi gas kuat dari dapur.

“Bila saya tengok, api sudah marak tinggi. Saya cuba padamkan dengan kain, tapi tak sempat,” katanya.

Muhammad Haikal memaklumkan, premis tersebut telah beroperasi lebih 20 tahun dan kebakaran ini merupakan yang pertama sejak dia bekerja di situ.

“Ini kali pertama berlaku kebakaran sepanjang saya bekerja di sini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran di Jeo Warung Mee Calong, Beserah pada jam 4.35 petang.

Menurutnya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan tiba di lokasi kejadian dan memulakan operasi pemadaman kira-kira jam 4.47 petang.

“Kebakaran melibatkan 70 peratus daripada keseluruhan struktur warung yang berukuran 70 kaki x 30 kaki.

“Pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran salur bantu mula dari pam tangki jentera bomba,” katanya sambil menambah bahawa kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.21 petang.

Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!